Kebun komuniti beri pendedahan pertanian kepada kanak-kanak
Foto : Kanak-kanak dari dua tadika merakamkan kenangan selepas melawat Projek Kebun Komuniti Bandar.
Kebun komuniti beri pendedahan pertanian kepada kanak-kanak
HULU SELANGOR – Projek Kebun Komuniti Bandar yang diusahakan Rukun Tetangga (RT) Progresif Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari, Presint 14, Bandar Sungai Buaya (BSB), di sini, menarik perhatian 40 kanak-kanak dari dua tadika untuk mendapatkan pendedahan awal mengenai pertanian.
Kanak-kanak dari Tadika Wawasan Gemilang (TWG) dan Tadika Sumber Bijak (TSB) itu mengunjungi projek berkenaan pada 26 Ogos lalu, diiringi pengusaha masing-masing, Sharipah Hamzah dan Zaiton Ishak.

Kunjungan itu disambut Pengerusi KRT Kasturisari, Mahmod Mat Ali yang turut memberikan taklimat mengenai projek kebun komuniti berkenaan.
Zaiton berkata, program berkenaan memberi peluang kepada kanak-kanak mengenali bidang pertanian dan memupuk minat terhadap aktiviti bercucuk tanam sejak usia muda.
“Walaupun masih kanak-kanak, pendedahan seperti ini dapat memberi dorongan dan tunjuk ajar mengenai cara menghasilkan tumbuhan yang menjadi sumber makanan sihat.
“Ia juga memberi pendidikan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti bermanfaat,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Tadika Swasta Hulu Selangor.
Sementara itu, Sharipah berkata, kunjungan berkenaan memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak selain memperkenalkan mereka kepada sumber makanan, usaha petani serta kepentingan pertanian dan kelestarian alam sekitar.
“Kami menukarkan sedikit budaya membawa kanak-kanak ke tempat tumpuan orang ramai dengan membawa mereka melawat kebun yang menghasilkan bahan makanan.
“Program seperti ini boleh menjadi aktiviti pendidikan luar bilik darjah selain mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti,” katanya.
Mahmod berkata, kanak-kanak turut dibawa melawat tapak semaian, Rumah Hijau Buah Melon Selangor (MeloSel), kolam ikan serta kawasan tanaman penduduk.
Menurutnya, mereka juga berpeluang melihat dan mencuba sendiri aktiviti pertanian termasuk mencabut ubi kayu sebelum hasil itu digoreng dan direbus untuk dinikmati bersama. -SAHIH.
