Ambulans swasta dilanggar Jazz, empat kakitangan selamat
Ambulans swasta dilanggar Jazz, empat kakitangan selamat
KULIM: Seorang pemandu dan tiga petugas sebuah ambulans swasta terselamat selepas dilanggar sebuah kereta sebelum terbalik di persimpangan lampu isyarat Jalan Lunas-Taman Seluang, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, ambulans dinaiki empat kakitangan perkhidmatan ambulans swasta terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an tidak membawa pesakit.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, hasil siasatan awal mendapati ambulans tersebut dalam perjalanan dari Lunas ke Hospital Kulim.
Menurutnya, ambulans itu dipercayai bergerak melepasi lampu isyarat berwarna merah sebelum dilanggar di bahagian sebelah kiri oleh kereta Honda Jazz yang laluannya lampu isyarat berwarna hijau.
“Akibat pelanggaran tersebut, ambulans tersebut telah terbalik di atas jalan, namun pemandu dan tiga lagi kakitangan ambulans swasta itu terselamat.
“Pemandu dan penumpang kereta yang berusia 50-an juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Sazalee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Hassan, 35, berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran tempat kejadian.
Katanya, dia terkejut apabila secara tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat dari arah jalan tersebut.
“Saya terus menoleh ke arah persimpangan lampu isyarat dan ternampak sebuah ambulans dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum terbalik, lapor utusan online
“Sebuah kereta dalam dari arah Taman Seluang di sini dengan keadaan hadapannya rosak terhenti di tengah persimpangan lampu isyarat itu,” katanya.
Hassan berkata, orang ramai yang berada berhampiran kemudian menuju ke arah dua kenderaan terbabit untuk membantu mangsa kemalangan.