Ahmad Faroq Orang Asli catat sejarah calon AJK Bahagian Jerantut
Ahmad Faroq Orang Asli catat sejarah calon AJK Bahagian Jerantut
JERANTUT – UMNO Bahagian Jerantut menempa sejarah apabila seorang calon dalam kalangan Orang Asli, Ahmad Faroq Fauzi, 42, menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ahli Jawatan Kuasa (AJK) bahagian itu untuk sesi 2023 – 2026 pada pertengahan Mac ini.
Ahmad Faroq dari kalangan Orang Asli etnik Jahut berkata, hasrat dia memecah monopoli orang Melayu bertanding sebagai AJK bahagian itu kerana sudah sampai masanya seorang wakil dari masyarakat Orang Asli perlu berada dalam saf kepimpinan UMNO Jerantut.
“Saya sudah 15 tahun menganggotai UMNO cawangan Kampung Orang Asli Sungai Rengat dan sebagai AJK Pemuda (UMNO) Jerantut berjuang untuk memartabatkan parti ini sebagai penjana pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat termasuk Orang Asli di Pahang dan negara amnya.
“Setelah menjadi Ketua Cawangan kampung saya, inilah cabaran yang semakin hebat dan berat terutama menguatkan keyakinan dalam kalangan Orang Asli sama-sama berjuang dalam UMNO termasuk meniupkan roh jati diri orang muda Orang Asli mencintai parti ini,” katanya di Kampung Orang Asli Sungai Rengat dekat sini hari ini.
Ahmad Faroq menjelaskan dia beriltizam untuk membawa isu pembangunan termasuk kebajikan penduduk di semua penempatan Orang Asli di Jerantut khususnya berkaitan pendidikan, keagamaan dan ekonomi kaum tersebut.
Dia berkata, semangat perjuangan yang diwarisi oleh bapanya, Fauzi Abdullah merupakan perintis penubuhan UMNO cawangan kampung tersebut menjadi teras bagi memantapkan keyakinan etnik Jahut terhadap UMNO termasuk Orang Asli etnik Bateq dan etnik Jakun di beberapa kawasan penempatan daerah ini.
Ahmad Faroq yang bekerja sebagai pendakwah Orang Asli Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) berkata, sebagai parti keramat yang berusia 77 tahun, wadah pembabitan politiknya menerusi UMNO akan dijadikan sebagai medium menyebarkan usaha dakwah dan pembangunan Islam kepada masyarakat Orang Asli yang sangat perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.
“Saya yakin kepimpinan UMNO Bahagian Jerantut bukan sahaja memfokuskan aspek pembangunan dan kebajikan rakyat semua kaum juga boleh untuk menggerakkan usaha dakwah khususnya dalam kalangan Orang Asli sehingga ini sudah semakin ramai memeluk agama Islam,” katanya.-SAHIH.