SETIAUSAHA SULIT TIMBALAN MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MENINGGAL DUNIA.
Bentong – Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Mohd Shamsuddin Damin 56 tahun meninggal dunia hari ini dipercayai akibat serangan jantung selepas rebah di sebuah chalet di Janda Baik, Bentong, Pahang.
Allahyarham mula berkhidmat dengan Datuk Zahidi Zainul Abidin sejak beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri selain pernah menjadi setiausaha Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam).
Isteri Allahyarham, Jamaliah Ibrahim, 54 tahun, berkata, arwah rebah semasa hendak bersiap untuk bersolat zuhur dan menghadiri program dengan pelajar pusat tahfiz Maahad An Noer di situ sekitar 12.45 tengah hari.
“.lepas tu dia nak bersiap, dia ambil baju kat kereta bawak masuk bilik,Nak salin dah bukak baju yang nak di tukar, nak g balik air bersiap lepas tu, dia baring telungkup atas katil, lepas tu Nampak tersedak, lepas tu tanya kenapa, iringkan dia, dia dah tarik nafas dalam-dalam, mata dia pun dah putih, tak lama, sekejap je, lepas tu dah takde, jadi suruh anak panggil, tuan resort jadi datang panggil polis” ,katanya .
Beliau berkata, Allahyarham mempunyai masalah jantung sejak empat tahun lepas selain pernah mengalami serangan angin ahmar.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam pada malam ini, selepas selesai urusan di Hospital Bentong.
Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi laman sosial Facebook miliknya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan seorang anak perempuan berusia 22 tahun.
#sahih
#yangpastisahih