Zahid mahu PAC teliti pengurusan TH selepas 2017
Zahid mahu PAC teliti pengurusan TH selepas 2017
KUALA LUMPUR: Penelitian menyeluruh terhadap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) selepas 2017 perlu dibuat berasaskan fakta dan rekod rasmi bagi menjernihkan persepsi masyarakat terhadap institusi berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia dilihat sebagai badan paling sesuai untuk melaksanakan penelitian itu kerana mempunyai bidang tugas berkaitan pengurusan dan kewangan awam.
Menurutnya, PAC dicadangkan mempertimbangkan penubuhan sebuah badan khas bagi meneliti pengurusan TH untuk tempoh selepas 2017.
“Saya fikir PAC itu lebih sesuai untuk melakukan penyiasatan kerana mereka mempunyai locus standi yang tertulis dalam tugas dan tanggungjawab PAC itu sendiri,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, penelitian berkenaan penting bagi memperjelaskan perkara yang berlaku berdasarkan fakta dan realiti, sekali gus membetulkan persepsi masyarakat berhubung pengurusan serta tadbir urus TH.
Katanya, sijil bersih yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara (JAN) juga perlu diberi perhatian kerana pengauditan TH dibuat berdasarkan peruntukan Akta Tabung Haji 1995.
Menurutnya, akta itu menetapkan JAN sebagai badan yang bertanggungjawab menjalankan pengauditan terhadap TH.
Cadangan membabitkan PAC itu, katanya, dikemukakan secara tidak formal oleh beberapa Ahli Parlimen yang menghadiri Forum ‘Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji’ pada Musyawarah Nasional, Selasa.
Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, tiada keperluan membawa dapatan serta resolusi musyawarah berkenaan ke perhatian Kabinet.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merujuk laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Menurutnya, laporan berkenaan bukan bertujuan menuding kesalahan kepada mana-mana individu, sebaliknya menjadi rujukan untuk meneliti semula perkara yang berlaku dan memperjelaskan aspek tadbir urus TH.
Musyawarah itu diadakan bagi mengupas isu pengurusan dan tadbir urus TH, khususnya perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI membabitkan tempoh 2014 hingga 2020.-SAHIH
Sumber: BERNAMA
#kw: Tabung Haji, TH, Ahmad Zahid Hamidi, PAC, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Jabatan Audit Negara, RCI, tadbir urus, pengurusan TH, Akta Tabung Haji 1995
