Amirudin galas tugas atur strategi PH-BN di Melaka
Amirudin galas tugas atur strategi PH-BN di Melaka
SERDANG: Pakatan Harapan (PH) memberi mandat kepada Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Amirudin Shari untuk memperincikan bentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), termasuk berkaitan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor sudah diamanahkan untuk meneliti perkara berkenaan.
Menurutnya, urusan berkaitan bentuk kerjasama termasuk pembahagian kerusi akan diperincikan oleh Amirudin.
Bagaimanapun, Anwar menafikan pertemuannya dengan Amirudin baru-baru ini membincangkan mengenai soal politik atau pengagihan kerusi untuk PRN Melaka.
Sebaliknya, beliau berkata, pertemuan itu hanya membabitkan perkara berkaitan Sukan Malaysia (SUKMA).
“Eh, masa bincang pasal sukan mana ada masa bincang politik.
“Ya, kita dah beri amanah kepada Amir, Amir will work it out,” katanya ketika diminta mengulas perkara berkenaan.
Pada Isnin, Pengarah Komunikasi PH yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengesahkan Amirudin sudah mengadakan pertemuan dengan Anwar pada Ahad lalu.
Pertemuan itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada perbincangan berhubung persiapan menghadapi PRN Melaka termasuk pengagihan kerusi antara PH dan BN turut disentuh.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, Jawatankuasa Pilihan Raya PH akan membincangkan potensi kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Perbincangan itu dilihat penting bagi memperincikan bentuk kerjasama antara kedua-dua gabungan berkenaan sebelum menghadapi pilihan raya negeri tersebut.
Terdahulu, Anwar menghadiri Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijri/2026 Masihi di Serdang, Selasa.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Anwar Ibrahim, Amirudin Shari, Pakatan Harapan, PH, Barisan Nasional, BN, PRN Melaka, agihan kerusi, kerjasama PH-BN, Fahmi Fadzil
