PELADANG MUDA RUGI RM33,760
ANGKARA DITIPU SINDIKET PINJAMAN WANG TAK WUJUD
KUANTAN: Seorang peladang di Lipis, kerugian RM33,760 diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, lelaki berusia 33 tahun itu pada asalnya mahu membuat pinjaman sebanyak RM20,000 selepas tertarik dengan tawaran pinjaman wang berlesen daripada sebuah syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, mangsa kemudian berhubung dengan ejen pinjaman wang melalui aplikasi WhatsApp untuk pertanyaan lanjut mengenai pinjaman wang yang ditawarkan pada 10 Oktober lalu.
Katanya, pinjaman itu diluluskan dan pada 1 November, pihak syarikat pinjaman wang berlesen meminta mangsa membuat bayaran balik secara ansuran sebanyak RM417 selama tempoh lima tahun.
“Bagaimanapun mangsa diminta membayar sejumlah wang dengan tujuan sebagai yuran proses pinjaman dan urusan cukai pendapatan.
“Mangsa kemudiannya membuat 11 transaksi di bank yang berlainan di Kuala lipis dengan berjumlah keseluruhan sebanyak RM33,760.
“Setelah membuat bayaran itu, mangsa masih dihubungi oleh pihak berkenaan dan meminta mangsa memasukkan lagi duit untuk tujuan pelbagai proses.
“Mangsa mulai merasa curiga dan ditipu sebelum membuat laporan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD),” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.