TAUFAN GONI BADAI FILIPINA
TAUFAN GONI BADAI FILIPINA, 1JUTA DIPINDAHKAN
LEGASPI, FILIPINA: Sekurang-kurangnya hampir sejuta penduduk dipindahkan selepas Taufan Goni mula membadai Filipina hari ini yang dijangka mengakibatkan bencana dan kesan paling buruk di negara itu.
Menurut peramal cuaca negeri, ribut taufan paling dahsyat sepanjang tahun ini itu mula membadai Pulau Catanduanes pada jam 4.50 pagi waktu tempatan (2050 GMT Sabtu) dengan kelajuan angin maksimum 225 kilometer (140 batu) sejam.
Katanya, dalam tempoh 12 jam ini, ia dijangka menyebabkan angin kencang yang dahsyat dan hujan lebat di wilayah Bicol membabitkan bahagian hujung selatan pulau utama Luzon dan Catanduanes.
“Ia adalah kawasan paling berisiko dan berbahaya yang menerima kesan akibat taufan ini, ” katanya.
Jurucakap Majlis Pengurusan dan Penyusunan Risiko Bencana Nasional, Mark Timbal, berkata angin kencang itu dijangka meningkatkan risiko berlakunya banjir dan tanah runtuh.
“Gelombang ribut akan melanda pantai timur dan kini kami sedang memantau Gunung Mayon dan Taal terhadap risiko kemungkinan aliran lumpur gunung berapi itu, ” katanya melalui siaran tempatan ABS-CBN, semalam.
Sementara itu, Ketua Pertahanan Awam, Ricardo Jalad, berkata hampir sejuta penduduk sudah meninggalkan kediaman masing-masing di wilayah Bicol.
Katanya, pihak berkuasa bertungkus-lumus mengaktifkan misi menyelamat termasuk menyediakan kenderaan penyelamat, pasukan maklum balas kecemasan dan barangan bantuan sebelum taufan itu tiba.
Katanya, kawasan pantai juga berisiko mengakibatkan ombak tinggi sehingga tiga meter yang boleh mengancam nyawa, sekali gus berupaya menenggelamkan kawasan rendah.
Ombak sehingga tiga meter itu diramal berlaku di kawasan pantai di ibu kota Manila.
Jurucakap pertahanan awam wilayah Bicol, Alexis Naz pula berkata, bangunan sekolah yang dikosongkan sejak pandemik COVID-19 digunakan sebagai pusat perlindungan sementara.
“Proses memindahkan orang ramai menjadi lebih sukar disebabkan oleh COVID-19,” katanya kepada AFP.
Taufan Goni yang kelajuannya semakin kuat ketika menghampiri Filipina melanda seminggu selepas Taufan Molave menyerang wilayah sama di kepulauan yang sering kali terdedah dengan bencana alam ini.
Taufan Molave mengorbankan 22 mangsa dan membanjiri perkampungan dan kawasan pertanian di tanah rendah sebelum melintasi Laut China Selatan ke Vietnam. – AFP