Kayuh semalaman dari Gemas demi sokong jentera pilihan raya
Kayuh semalaman dari Gemas demi sokong jentera pilihan raya
Melaka: Perjalanan jauh dengan mengayuh basikal dari Gemas, Negeri Sembilan ke Bukit Katil tidak menghalang warga emas, Sitdek Ahmad Ali, untuk hadir menyaksikan sendiri proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.
Bagi Sitdek, perjalanan berkenaan memberi peluang menyaksikan secara dekat proses demokrasi selain menyatakan sokongan kepada jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN).
Sitdek berkata, beliau memulakan kayuhan dari kampung halamannya di Gemas, pagi semalam sebelum tiba di Bukit Katil kira-kira 4 pagi tadi selepas mengharungi perjalanan sepanjang malam.
“Saya mula kayuh basikal dari Gemas, Negeri Sembilan, semalam. Saya pulang ke Melaka untuk memberikan sokongan kepada seluruh jentera pilihan raya Barisan Nasional,” katanya.
Beliau ditemui Bernama di Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil di Dewan Tun Ali, di sini.
Selepas tiba, beliau mengambil kesempatan berehat di sebuah surau berhampiran sebelum kembali ke pusat penamaan calon kira-kira 7.30 pagi.
Bukan itu sahaja, Sitdek turut berhasrat mengunjungi beberapa lagi pusat penamaan calon lain sekiranya berkesempatan bagi mengikuti perkembangan proses demokrasi di negeri itu.
Minatnya terhadap aktiviti kayuhan jarak jauh bukan perkara baharu apabila beliau pernah melakukan ekspedisi berbasikal sejauh 2,500 kilometer mengelilingi Semenanjung Malaysia pada 2019.
Ekspedisi itu dilakukan bagi mengumpul dana untuk merealisasikan impiannya berbasikal ke Makkah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 November.-SAHIH
#PRNMelaka #BukitKatil #Gemas #PilihanRaya
