RTS Link mula operasi Februari 2027, pelaburan Johor tidak terjejas
RTS Link mula operasi Februari 2027, pelaburan Johor tidak terjejas
JOHOR BAHRU: Penetapan tarikh operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura kepada Februari 2027 dijangka tidak menjejaskan daya tarikan pelaburan di Johor, khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO), Mohd Shahrin Rahmat berkata, perubahan jadual pengoperasian projek pengangkutan rentas sempadan itu sebaliknya lebih memberi kesan kepada sektor pelancongan dan pergerakan tenaga kerja.
Katanya, RTS Link kekal menjadi antara pemangkin penting kepada pembangunan ekonomi Johor terutama dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Singapura.
“Pada pandangan saya, ia (penetapan) tidak beri kesan sangat ke atas pelaburan, tetapi lebih kepada pelancong dan ia adalah faktor penentu yang besar bagi peralihan lancar, terutamanya dari segi bakat.
“Setakat ini, apabila RTS mula beroperasi, nilai hartanah kita akan lebih meningkat,” katanya.
Mohd Shahrin berkata, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan MRT Corp bagi mendapatkan perkembangan terkini projek berkenaan yang dilaporkan masih berjalan mengikut jadual dari segi kemajuan fizikal.
Sebelum ini, pengendali RTS Operations Pte Ltd (RTSO) memaklumkan semua ujian sistem dan operasi percubaan disasarkan selesai menjelang 31 Disember ini.
Perkhidmatan penumpang pula dijangka bermula Februari 2027 berbanding sasaran awal Januari tahun sama.
Mengulas perkembangan JS-SEZ, Mohd Shahrin berkata, pelabur ketika ini masih menunggu pengumuman pelan induk daripada Kerajaan Persekutuan, khususnya berkaitan insentif pelepasan cukai.
Menurutnya, kebanyakan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan lanjut mengenai pelaburan masing-masing.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan melancarkan Pelan Induk dan Blueprint JS-SEZ pada penghujung tahun ini.
Pelancaran berkenaan bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi kedua-dua negara selain merancakkan kemasukan pelaburan baharu.
JS-SEZ merekodkan pelaburan berjumlah RM132 bilion bagi tempoh 2025 hingga Jun 2026.-SAHIH
#RTSLink #JohorSingapura #PelaburanJohor #ZonEkonomiKhas
