Suara belia perlu diberi perhatian serius – Johari
Suara belia perlu diberi perhatian serius – Johari
KUALA LUMPUR: Pandangan dan suara golongan muda khususnya menerusi Parlimen Belia perlu diberi perhatian serius kerana mereka bakal menentukan hala tuju serta masa depan negara.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, pemerkasaan belia bukan sekadar memberi peluang kepada mereka bersuara, sebaliknya perlu disertai tanggungjawab, bimbingan dan dorongan sewajarnya.
Katanya, beliau sendiri mahu mendengar pandangan serta aspirasi generasi muda menerusi platform Parlimen Belia yang menjadi medan penting untuk mereka mengetengahkan pelbagai isu.
“Apa sahaja yang anda bincangkan dalam Parlimen Belia akan dipandang serius oleh kerajaan, khususnya saya sendiri sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Saya mahu mendengar dan meneliti dengan bersungguh-sungguh apa sebenarnya yang anda mahukan kerana masa depan adalah milik anda.
“Hari esok adalah milik anda. Jadi, saya mahu mendengar dengan teliti apa yang golongan muda inginkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan khas pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa Ketiga 2026 (iFUTURE 2026) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Johari turut menggalakkan golongan muda mengambil peluang menyertai Parlimen Belia bagi mendapatkan pengalaman berbahas, menyuarakan isu masyarakat serta mengasah bakat kepimpinan.
Menurutnya, penyertaan dalam platform berkenaan juga memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai proses demokrasi dan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Dalam usaha memperkukuh amalan demokrasi, beliau berkata, bakal pemimpin perlu memiliki kemahiran berunding selain bersedia menerima perbezaan pendapat serta menghormati pandangan pihak lain.
Sementara itu, pengundian bagi Parlimen Belia Malaysia dijadual berlangsung pada 1 dan 2 November ini, manakala keputusan rasmi akan diumumkan pada 2 November.
Sidang kemuncak iFUTURE 2026 yang berlangsung selama tiga hari menghimpunkan seramai 1,231 pemimpin pelajar termasuk 418 delegasi antarabangsa dari 60 negara.-SAHIH
#ParlimenBelia #JohariAbdul #iFUTURE2026 #KepimpinanBelia
