Dari FELDA Jengka 24 ke puncak Himalaya, Pak Syed terus buru impian tawan Everest
Dari FELDA Jengka 24 ke puncak Himalaya, Pak Syed terus buru impian tawan Everest
JERANTUT – Biarpun terpaksa berdepan suhu ekstrem sehingga negatif 20 darjah Celsius, seorang peneroka FELDA Jengka 24 tidak pernah mengalah dalam usaha merealisasikan impian menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.
Syed Abdullah Syed Qasim, 63, atau lebih dikenali sebagai Pak Syed membuktikan keupayaannya apabila berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Lobuche East setinggi 6,119 meter di Nepal, pada 10 Oktober lalu.

Kejayaan itu dicapai tepat jam 9.47 pagi bersama rakan pendakinya, Nor Sirat Abd Aziz, 48, dari Temerloh yang juga penjawat awam di Pahang.
Pak Syed berkata, kejayaan berkenaan cukup bermakna kerana menjadi satu lagi pencapaian penting dalam persediaannya menawan Gunung Everest dan Lhotse.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah SWT memberikan kesihatan dan kekuatan untuk meneruskan aktiviti pendakian walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya berasal daripada keluarga kampung yang sederhana dan seorang peneroka FELDA Jengka 24. Namun, keadaan itu bukan penghalang untuk saya menyimpan impian besar menawan Gunung Everest,” katanya.
Menurutnya, ekspedisi selama 18 hari bermula 29 September hingga 16 Oktober itu menuntut ketahanan fizikal dan mental apabila mereka terpaksa melalui laluan curam dilitupi ais, selain berdepan angin kencang dan kekurangan oksigen pada ketinggian melebihi 5,800 meter.
Katanya, hanya mereka berdua pendaki Malaysia yang menyertai misi menawan puncak berkenaan.
Kejayaan di Lobuche East menjadikan gunung itu puncak ketiga melebihi ketinggian 6,000 meter yang berjaya ditawannya selepas Island Peak setinggi 6,189 meter di Nepal dan Kang Yatse II, 6,250 meter di India.
Pak Syed berkata, ekspedisi kali ini membabitkan perbelanjaan kira-kira RM13,000 seorang yang ditanggung sendiri.
Beliau kini menyasarkan Gunung Himlung Himal setinggi 7,126 meter sebagai persediaan meningkatkan kemampuan sebelum meneruskan misi lebih mencabar.

Impian terbesarnya adalah untuk menawan Gunung Everest setinggi 8,848 meter dan Gunung Lhotse, 8,516 meter, yang dirancang pada musim pendakian 2027 atau 2028.
Bagaimanapun, misi berkenaan memerlukan dana kira-kira RM360,000 dan beliau masih berusaha mendapatkan penajaan bagi merealisasikan impian itu.
Bagi Pak Syed, kejayaan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Lobuche East bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas pendakian antarabangsa.-SAHIH
#Sahih #FELDAJengka24 #LobucheEast #GunungEverest
