Tembakan meriam 21 das sambut Raja Jordan di Istana Negara
Tembakan meriam 21 das sambut Raja Jordan di Istana Negara
KUALA LUMPUR: Tembakan meriam 21 das mengiringi Istiadat Sambutan Negara bagi meraikan keberangkatan Raja Jordan, Raja Abdullah II yang mengadakan lawatan negara selama dua hari ke Malaysia bermula Ahad lalu.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Istana Negara bagi menyambut keberangkatan Raja Abdullah II pada jam 9.50 pagi, semalam.
Istiadat penuh protokol diraja itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan, Ayman Safadi serta pegawai kanan Istana Diraja Hasyimiah dan Kerajaan Jordan.
Istiadat dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapten Mohd Fahmy Harun.
Ia disusuli tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja di Dataran Kawad Istana Negara.
Raja Abdullah II kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama membabitkan lima pegawai dan 89 anggota lain-lain pangkat daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kawalan kehormatan berkenaan diketuai Mejar Muhammad Firdaus Mat Hayin.
Selesai istiadat sambutan, Sultan Ibrahim berkenan mengadakan pertemuan empat mata dengan Raja Abdullah II sebelum berangkat ke Dewan Santapan Utama bagi Majlis Jamuan Negara.
Lawatan atas undangan Sultan Ibrahim itu merupakan kunjungan negara kedua Raja Abdullah II ke Malaysia selepas Mei 2008.
Malaysia dan Jordan menjalin hubungan diplomatik sejak 1965 dengan kerjasama erat khususnya dalam bidang pendidikan.
Setakat tahun ini, seramai 1,636 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di Jordan, manakala lebih 1,490 pelajar Jordan menuntut di institusi pendidikan tinggi negara ini.
Kedua-dua negara turut berkongsi komitmen memperjuangkan keamanan dan kestabilan Asia Barat, khususnya hak rakyat Palestin.
Sementara itu, perdagangan dua hala Malaysia-Jordan mencatat RM993.4 juta pada 2025, meningkat 15.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, nilai perdagangan meningkat lapan peratus kepada RM740.7 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.-SAHIH
#SultanIbrahim #RajaJordan #IstanaNegara #HubunganDiplomatik
