17 tahun di belakang kamera, jurukamera TV3 diuji penyakit slip disc
17 tahun di belakang kamera, jurukamera TV3 diuji penyakit slip disc
KOTA KINABALU: Selepas 17 tahun merakam pelbagai peristiwa sebagai jurukamera, Mohammed Fairuz Mohammed Yazzer kini berdepan ujian kesihatan apabila mengalami masalah cakera tergelincir atau slip disc yang mula dirasainya ketika membuat liputan pilihan raya.
Eksekutif Jurukamera TV3 itu berkata, kesakitan berkenaan bermula ketika bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu sebelum semakin dirasai ketika membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan, Januari lalu.
Menurutnya, masalah kesihatan itu dikenal pasti selepas menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) susulan rawatan penyakit denggi pada pertengahan tahun ini.
Katanya, doktor mencadangkan rawatan awal termasuk fisioterapi, namun kesakitan masih dialami dan beliau kini menunggu penilaian lanjut pakar.

Mohammed Fairuz berkata, bantuan diterima menerusi Tabung Kasih @ HAWANA akan digunakan bagi menampung keperluan perubatan termasuk perlindungan insurans bersesuaian.
“Terima kasih kepada Tabung Kasih @ HAWANA atas pemberian bantuan ini.
“Saya harap tabung HAWANA akan diteruskan untuk membantu rakan-rakan media lain yang sangat memerlukan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menerima bantuan berkenaan di Pejabat Biro Bernama Sabah, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, Ahad lalu.
Bantuan disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching sempena lawatan kerjanya ke Sabah.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Biro Bernama Sabah, Fadzli Ramli.
Sementara itu, penerbit rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Floris Philip yang mengalami masalah jantung berkata, bantuan diterima bukan sahaja meringankan kos rawatan, malah mengembalikan semangat untuk meneruskan kehidupan.
“Bantuan ini sangat bermanfaat kerana secara tidak langsung mengembalikan semangat yang pernah hilang,” katanya.
Seorang lagi penerima, Kamarudin Abdullah yang sudah 17 tahun berkhidmat sebagai penerbit rancangan RTM berkata, bantuan itu meringankan beban kos perubatan selepas terbabit kemalangan jalan raya.
“Tidak salah untuk kita memohon bantuan demi kelangsungan hidup dan supaya kita dapat terus bekerja,” katanya.
Tabung Kasih @ HAWANA diwujudkan Kementerian Komunikasi sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 dengan Bernama bertindak sebagai urus setia.
Setakat ini, sebanyak RM2.54 juta disalurkan kepada 864 pengamal media dan veteran wartawan yang memerlukan bantuan, termasuk 37 penerima dari Sabah.-SAHIH
#TabungKasihHAWANA #JurukameraTV3 #PengamalMedia #Bernama
