Bekas pemenang FFM jadi juri, pilih karya terbaik industri sendiri
Bekas pemenang FFM jadi juri, pilih karya terbaik industri sendiri
PETALING JAYA: Bekas pemenang Festival Filem Malaysia (FFM) bakal diberi peranan menilai dan menentukan pemenang anugerah menerusi sistem penjurian baharu yang diperkenalkan pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Dr Hans Isaac berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan proses pemilihan lebih telus, adil dan mendapat pengiktirafan penggiat industri perfileman tempatan.
Katanya, sistem berkenaan diperkenalkan selepas mengambil kira pandangan serta luahan pemain industri yang mahukan perubahan dalam kaedah penilaian anugerah berprestij itu.
“Kita mendengar hasrat dan luahan penggiat industri kerana tugas kami adalah memberikan apa yang mereka mahukan.
“Kita masih mempunyai panel juri, tetapi bagi lima calon terbaik, kita akan membawa masuk pemenang terdahulu untuk menilai filem, lakonan dan lakon layar serta memberikan markah masing-masing.
“Ini bermakna orang industri sendiri yang memilih pemenang dalam kalangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pengumuman Lima Calon Terbaik FFM35 di Menara FINAS, di sini, Sabtu lalu.
Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Dalam perkembangan sama, Hans menyambut baik perhatian kerajaan terhadap industri kreatif menerusi Belanjawan 2027, khususnya cadangan pengecualian duti hiburan serta insentif sokongan lain.
“Duti hiburan adalah sesuatu yang sangat kami banggakan kerana ramai sudah berusaha mendapatkan pengecualian itu dan Perdana Menteri memberikan sesuatu yang tidak kami sangka akan dapat,” katanya.
Menurutnya, FINAS turut menyasarkan sekurang-kurangnya empat hingga lima filem tempatan bermutu tinggi mampu menembusi pasaran antarabangsa tahun depan.
Katanya, pemenang Filem Terbaik FFM35 bakal menerima suntikan Dana Kandungan Digital bernilai RM1 juta bagi menggalakkan penghasilan karya berkualiti tinggi.
FFM35 yang menerima lebih 80 penyertaan filem tempatan dijadual berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 21 November depan dan disiarkan secara langsung menerusi RTM TV2.-SAHIH
#FFM35 #FINAS #HansIsaac #FilemTempatan
