YADIM sasar 500 program dakwah, libat 10,000 peserta
YADIM sasar 500 program dakwah, libat 10,000 peserta
KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 peserta menyertai 500 program yang bakal dilaksanakan menerusi Program Dakwah Negara 2026 di seluruh negara.
Program yang berlangsung bermula 1 Oktober hingga 31 Disember ini memberi penekanan kepada pembinaan adab, keharmonian masyarakat selain memanfaatkan teknologi dalam menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat.
Dr Zulkifli Hasan berkata, pelaksanaan program berkenaan merangkumi pelbagai aktiviti secara fizikal dan digital bagi memastikan pendekatan dakwah terus relevan dengan perkembangan semasa.
Menurutnya, pendekatan dakwah juga perlu sentiasa disesuaikan mengikut perubahan dan keperluan masyarakat, terutama dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa.
“Program Dakwah Negara 2026 menyasarkan pelaksanaan 500 program dengan penglibatan sekurang-kurangnya 10,000 peserta menerusi pelbagai aktiviti fizikal dan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Dakwah Negara 2026 di ibu negara, Sabtu.
Katanya, penggunaan teknologi turut memainkan peranan penting dalam memperluaskan penyampaian mesej dakwah supaya dapat menjangkau lebih ramai lapisan masyarakat termasuk generasi muda.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Malaysia bakal menjadi tuan rumah Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa ke-27 yang dijadual berlangsung di Putrajaya pada hujung November hingga 3 Disember ini.
Persidangan berkenaan dijangka menghimpunkan ulama dan ilmuwan Islam dari 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Penganjuran itu sekali gus menyediakan platform kepada ilmuwan Islam untuk membincangkan pelbagai isu semasa membabitkan umat Islam serta perkembangan fiqh dalam mendepani cabaran dunia moden.-SAHIH
#kw: YADIM, Dakwah Negara, OIC, Zulkifli Hasan
