408 lokasi Wi-Fi IPTA siap, capai 76 peratus
408 lokasi Wi-Fi IPTA siap, capai 76 peratus
NIBONG TEBAL: Sebanyak 408 daripada keseluruhan 538 lokasi yang dikenal pasti bagi pelaksanaan Projek Wi-Fi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sudah disiapkan, sekali gus merekodkan pencapaian 76 peratus setakat akhir September lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, projek berkenaan membabitkan kos keseluruhan RM634.1 juta menerusi dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, sebanyak 14 lokasi IPTA di bawah Fasa Satu dan 177 lokasi Fasa Dua sudah siap sepenuhnya.
“Bagi IPTA Fasa Tiga iaitu fasa sekarang, kita memilih 206 lokasi dengan 80 daripadanya siap atau 39 peratus.
“Bagi MARA pula, 110 lokasi dipilih dengan 106 sudah siap, manakala kesemua 31 lokasi institusi latihan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut siap,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Liputan Wi-Fi IPTA di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, Sabtu.
Menurutnya, projek itu memberi tumpuan kepada kawasan kampus yang mencatatkan penggunaan internet tinggi termasuk dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar dan kolej kediaman.
Di Pulau Pinang, sebanyak 32 lokasi membabitkan IPTA serta institusi di bawah MARA dan KESUMA terlibat dengan 24 lokasi sudah siap setakat 29 September lalu, membabitkan anggaran kos RM61.5 juta.
Teo berkata, bagi USM, sebanyak 822 titik akses tambahan di bawah Fasa Tiga siap pada 18 September lalu, merangkumi 740 titik akses di Kampus Nibong Tebal serta masing-masing 41 di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam dan USM Bukit Jambul.
Pemasangan itu melengkapkan 1,103 titik akses yang disediakan menerusi Fasa Dua, menjadikan keseluruhan 1,925 titik akses beroperasi di USM setakat 30 September lalu.
Katanya, kerja pemasangan tambahan sebanyak 4,150 titik akses di Kampus Induk USM kini sedang dilaksanakan dan disasarkan siap menjelang akhir bulan ini.
Projek di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) seliaan MCMC itu bertujuan memperkukuh capaian internet berkelajuan tinggi di kampus IPTA seluruh negara.-SAHIH
#kw: Wi-Fi IPTA, JENDELA, MCMC, USM
