PLKN bukan latihan tentera, tak perlu takut
PLKN bukan latihan tentera, tak perlu takut
TUARAN: Persepsi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 sebagai latihan ketenteraan yang keras adalah tidak tepat apabila elemen ketenteraan hanya merangkumi kurang 10 peratus daripada keseluruhan latihan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Pelatih Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Kol Mazlizan Shaikh Osman berkata, program itu sebaliknya lebih memberi penekanan kepada pembentukan sahsiah, ketahanan diri, disiplin dan keyakinan dalam kalangan belia.
Menurutnya, orang ramai khususnya pelatih terpilih tidak perlu takut untuk menyertai program berkenaan kerana aktiviti ketenteraan hanya diberikan sebagai pendedahan asas.
“Aktiviti ketenteraan yang kita berikan adalah pendedahan untuk meningkatkan keyakinan diri.
“Kita buat merentas halangan, abseiling dari menara, pandu arah dan kita juga akan ajar ikhtiar hidup,” katanya ketika ditemui pada sesi lapor diri PLKN 3.0 Siri 4/2026 di Kem Pusat Latihan RELA Sabah, di sini, Sabtu.
Mazlizan berkata, latihan selama 45 hari itu turut menerapkan modul khas daripada pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Akademi Kepimpinan Malaysia.
Katanya, maklum balas daripada enam siri latihan sebelum ini menunjukkan lebih 80 peratus pelatih mengakui program berkenaan memberi impak positif kepada mereka.
Malah, lebih 90 peratus ibu bapa turut memberikan maklum balas sangat baik terhadap pelaksanaan PLKN.
Bagi PLKN 3.0 Siri 4/2026 di Kem Pusat Latihan RELA Sabah, seramai 245 pelatih membabitkan 165 lelaki dan 80 perempuan akan menjalani latihan sehingga 16 November ini.
Kem berkenaan adalah satu-satunya kem PLKN di Borneo yang menempatkan pelatih lelaki dan perempuan di premis sama, manakala tujuh lagi kem di seluruh negara mengasingkan penempatan mengikut jantina.-SAHIH
#PLKN3 #JLKN #Belia #KhidmatNegara
