Anwar batal hampir semua program, fokus siapkan Belanjawan 2027
Anwar batal hampir semua program, fokus siapkan Belanjawan 2027
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan hampir semua programnya minggu ini bagi memberi tumpuan kepada proses memuktamadkan Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Jumaat depan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penyediaan belanjawan memerlukan penelitian terhadap pelbagai tuntutan dan permintaan daripada masyarakat, persatuan, jabatan serta kementerian.
Menurutnya, setiap permintaan dikemukakan mempunyai keperluan tersendiri dan perlu dipertimbangkan berdasarkan kemampuan serta keterbatasan sumber kerajaan.
“Dan semuanya adalah munasabah dan rasional. Dari sawah-sawah di Kedah, nelayan di Terengganu, ada Orang Asli, Iban di Sarawak, bidang teknologi, bidang AI, semuanya menuntut perhatian.
“Insya-Allah tentunya mahasiswa juga, universiti juga tergolong dalam yang itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 di sini, Khamis malam.
Anwar berkata, kesibukannya menyiapkan Belanjawan 2027 menyebabkan hampir semua acara yang dijadualkan minggu ini terpaksa dibatalkan, namun beliau memilih untuk meneruskan kehadiran pada majlis membabitkan mahasiswa berkenaan.
Belanjawan 2027 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober ini, dengan proses penyediaannya turut mengambil kira pandangan rakyat, komuniti perniagaan dan pelbagai pemegang taruh.
Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan Belanjawan 2027 dirangka menerusi beberapa bidang tumpuan termasuk kos sara hidup, pemerkasaan ekonomi, keselamatan tenaga, sektor strategik seperti kecerdasan buatan (AI) serta pengukuhan tatakelola.-SAHIH
#kw: Anwar Ibrahim, Belanjawan 2027, mahasiswa, AI
