14 pingat, 11 kemahiran Malaysia kelompok 10 terbaik dunia
14 pingat, 11 kemahiran Malaysia kelompok 10 terbaik dunia
Shanghai: Malaysia mencatat pencapaian terbaik sejak menyertai WorldSkills Competition (WSC) pada 1995 apabila membawa pulang 14 pingat, termasuk satu gangsa dan 13 Pingat Kecemerlangan pada WSC Shanghai 2026.
Lebih membanggakan, peserta negara turut berada dalam kelompok 10 terbaik dunia bagi 11 bidang kemahiran, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi belia negara di pentas antarabangsa.
Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Chef De Mission Malaysia ke WSC, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, pencapaian itu bukan sesuatu yang kecil apabila dibandingkan dengan edisi Lyon 2024 yang menyaksikan Malaysia meraih satu gangsa dan empat Pingat Kecemerlangan.
“Ini pencapaian yang saya anggap tidak kecil. Ia satu pencapaian yang besar kerana kita berada top 10 dalam 11 kemahiran di seluruh dunia.
“Sebelum ini di Lyon, kita dapat satu gangsa, empat Medal for Excellence, tetapi di sini kita dapat satu gangsa, 13 Medal for Excellence,” katanya selepas Majlis Penutupan WSC Shanghai 2026 di Shanghai World Expo Cultural Centre.
Menurutnya, peningkatan kualiti peserta tempatan berusia bawah 22 tahun turut dibuktikan apabila mereka memperoleh markah melebihi 700 daripada 1,000 markah penuh bagi melayakkan penarafan Pingat Kecemerlangan antarabangsa.
Keputusan rasmi menyaksikan Malaysia menduduki tempat keempat dunia bagi Teknologi Kenderaan Rel, kelima bagi Elektronik dan Bakeri, manakala Pembinaan Digital serta Seni Permainan Digital 3D masing-masing berada di tempat keenam.
Ahmad berkata, bagi WSC 2028 di Aichi, Jepun, Malaysia menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 32 daripada 64 bidang kemahiran sebagai sebahagian usaha memburu pingat emas pertama negara.
Katanya, penyertaan konsisten dari peringkat kebangsaan, ASEAN hingga Asia turut membantu meningkatkan standard ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Malaysia sebelum ini muncul juara keseluruhan WorldSkills ASEAN Manila 2025 dengan 13 emas sebelum menduduki tempat ketiga terbaik Asia di WorldSkills Asia Taipei 2025 menerusi lima emas.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: WSC Shanghai, Ahmad Maslan, TVET, kemahiran
