Negara ‘tempang’ tanpa teras ilmu – Anwar
Negara ‘tempang’ tanpa teras ilmu – Anwar
Bangi: Pembinaan negara tidak boleh hanya digerakkan dengan semangat dan kemarahan tanpa kekuatan ilmu kerana keadaan itu boleh menyebabkan masyarakat serta negara menjadi ‘tempang’.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ilmu perlu menjadi teras dalam membina sebuah negara yang kukuh, termasuk dalam menjayakan kerangka Malaysia MADANI.
“Kalau sekarang umpamanya dalam bicara soal negara MADANI, tentu kita dapat kesan dari itu, negara atau masyarakat, apatah lagi gerakan, tempang sekiranya ledakan itu hanya dengan semangat dan kemarahan, dia mesti berteraskan ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi 3 Generasi: Menyambung Legasi Perjuangan di Pusat Konvensyen Bangi Avenue, malam Sabtu.
Anwar turut menyentuh proses perubahan sosial berdasarkan teori Ibn Khaldun daripada ‘Umran Badawi yang merujuk masyarakat desa atau asas kepada ‘Umran Hadari iaitu peradaban maju.
Menurutnya, pembentukan dan perkembangan sesuatu peradaban bermula dengan keyakinan serta teras kukuh yang menjadi asas kepada pembinaan negara berdaya tahan.
Katanya, teras dan misi kerangka MADANI pada hakikatnya turut menekankan penerapan nilai serta keperibadian murni dalam masyarakat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya terus menghidupkan tradisi ilmu, selain tidak mengetepikan asas iman, akhlak dan sahsiah dalam mengejar kemajuan.
“Kalau gapai di langit, kita tinggal akar di bumi, kita akan tentunya melihat ketempangan dalam pembentukan negara bangsa yang berteraskan MADANI.
“Maknanya dalam menggapai yang di langit, mesti mengakar di bumi, iman, akhlak, sahsiah, membina dan mengangkat tamadun,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Anwar, ilmu, MADANI, tamadun
