118 pakej baharu perkasa pelancongan niche
118 pakej baharu perkasa pelancongan niche
Kuala Lumpur: Tourism Malaysia melancarkan tiga produk pelancongan baharu merangkumi 118 pakej dan itinerari berasaskan pengalaman bagi memperluas pilihan pelancongan domestik serta antarabangsa sempena Kempen Melawat Malaysia 2026-2027.
Tiga produk berkenaan ialah Edu+ 2.0, EatVenture dan Taste of Orchard yang mengetengahkan pengalaman membabitkan elemen pendidikan, gastronomi, pertanian, budaya, alam semula jadi serta komuniti setempat.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, ketiga-tiga produk berkenaan dibangunkan khusus untuk pasaran niche dengan menyasarkan kumpulan pelancong tertentu.
“Ketiga-tiga pakej ini merupakan pakej niche market yang menyasarkan kumpulan pelancong tertentu, sama ada domestik mahupun antarabangsa.

“Produk yang kita lancarkan ini juga menyahut seruan kerajaan untuk mempelbagaikan produk pelancongan supaya tidak tertumpu kepada produk tertentu sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pakej berkenaan, Rabu.
Menurutnya, kepelbagaian produk itu memberi peluang kepada pelancong, termasuk mereka yang pernah berkunjung ke Malaysia, menikmati pengalaman baharu sekali gus menggalakkan kunjungan ke lebih banyak destinasi dan tempoh penginapan lebih lama.
Edu+ 2.0 menawarkan program jangka pendek kepada pelajar antarabangsa yang menggabungkan pendidikan, budaya dan warisan tempatan selain mewujudkan pertukaran budaya serta persefahaman.
Program itu dibangunkan melalui kerjasama strategik Tourism Malaysia dengan Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI).
Sementara itu, EatVenture mengetengahkan warisan kulinari Malaysia menerusi makanan tempatan, hidangan tradisional serta pengalaman berkaitan budaya makanan.
Taste of Orchard pula memberi tumpuan kepada produk agro seperti durian, Harumanis, koko, gula apong, empurau dan nanas, selain pengalaman di dusun, ladang, pendidikan agro serta pelancongan berasaskan komuniti.
Maklumat lanjut mengenai pakej ditawarkan boleh diperoleh menerusi platform promosi rasmi Tourism Malaysia.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: TourismMalaysia pelancongan EatVenture EduPlus
