ANWAR SALUR RM5,000 BANTU KELUARGA TIGA BERANAK MAUT KEBAKARAN
ANWAR SALUR RM5,000 BANTU KELUARGA TIGA BERANAK MAUT KEBAKARAN
IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalurkan bantuan awal RM5,000 kepada keluarga tiga beranak yang maut dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Desa Tambun, di sini, awal pagi Ahad.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri bagi pihak Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun kepada wakil keluarga, Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad.
Mohamad Hairul Amir berkata bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban keluarga yang kehilangan tiga ahli keluarga serentak dalam tragedi itu.
“Insya-Allah esok pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) akan datang untuk buat penilaian dan kita akan membantu dari segi mungkin baik pulih rumah serta sumbangan lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, pihak pusat khidmat masyarakat juga bersedia menyediakan tempat tinggal sementara sekiranya keluarga mangsa memerlukan penginapan sepanjang proses membaik pulih kediaman berkenaan.
Katanya, pihaknya turut akan berbincang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti bentuk bantuan lain yang diperlukan termasuk khidmat kaunseling.
Selain itu, bantuan turut diberikan bagi menguruskan jenazah ketiga-tiga mangsa.
Mohamad Hairul Amir berkata Anwar turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan meminta supaya segala bantuan sewajarnya diberikan bagi meringankan beban mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, pasangan suami isteri warga emas, Raja Ahmad Raja Ali, 70, dan Zaitun Mohamed, 64, serta cucu mereka, Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, maut selepas terperangkap dalam kebakaran berkenaan.
Seorang lagi penghuni, Raja Ikhwan Hadi, 47, terselamat selepas dipercayai tidur di ruang parkir rumah ketika kejadian.
Kebakaran itu memusnahkan kira-kira 70 peratus kediaman terbabit sebelum berjaya dikawal pada jam 4.45 pagi.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Anwar Ibrahim, kebakaran Tambun, tiga sekeluarga, bantuan RM5,000
