24 delegasi koperasi Malaysia perkukuh jaringan global di Panama
24 delegasi koperasi Malaysia perkukuh jaringan global di Panama
PANAMA CITY: Seramai 24 delegasi koperasi Malaysia menyertai The Global Cooperative Conference 2026 di Panama Convention Centre, Panama, bagi memperluas jaringan antarabangsa serta memperkukuh peranan gerakan koperasi negara di peringkat global.
Delegasi berkenaan diketuai Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga International Cooperative Alliance (ICA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Persidangan yang berlangsung pada 16 dan 17 September itu diadakan bersempena ICA Global Conference and Assemblies 2026 dengan tema “Building Bridges: Cooperative Contributions for a Peaceful World.”
Tema berkenaan menekankan peranan koperasi dalam membina jaringan kerjasama, memperkukuh keamanan, keterangkuman ekonomi dan pembangunan mampan ketika dunia berdepan cabaran geopolitik serta konflik yang semakin kompleks.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pembangunan Pertanian Republik Panama, Roberto Linares dan turut menghimpunkan pemimpin gerakan koperasi serta wakil organisasi antarabangsa.
Lebih 1,100 peserta dari lebih 80 negara menyertai persidangan berkenaan.
Antara perkara utama yang dibincangkan adalah peranan koperasi dalam membantu mewujudkan kestabilan ekonomi, memperluas penyertaan wanita dan belia serta memperkukuh komuniti.
Presiden ICA, Dr Ariel Guarco pula menegaskan keamanan perlu dibina berasaskan keadilan dan peluang pekerjaan yang bermaruah, selain mengingatkan gerakan koperasi supaya terus mempertahankan nilai serta prinsip koperasi.
Persidangan turut membincangkan tiga tonggak Strategi ICA 2026–2030 iaitu Practice, Promote dan Protect yang merangkumi aspek penyertaan belia, kepimpinan wanita, komunikasi strategik, advokasi, perundangan, tadbir urus, pendidikan serta teknologi.
Penyertaan Malaysia membuka ruang kepada delegasi negara mengikuti perkembangan agenda strategik ICA, berkongsi pengalaman dan memperkukuh hubungan dengan pemimpin serta organisasi koperasi antarabangsa.
Hadir sama Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, Datuk Mohd Ali Mansor; Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Mohamad Ali Hasan; Dato’ Haji Kamarudin Ismail serta Pengerusi Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI), Senator Datuk Wira Koh Nai Kwang.
Delegasi Malaysia turut disertai wakil IKMa, KOPSYA, Koop Sahabat, KATMB, KOPETRO, KOJADI, Koperasi Konsumer Malaysia Berhad dan Koperasi Tenaga Nasional Berhad.-SAHIH
#kw ANGKASA, ICA, koperasi Malaysia, Panama
