Tumpuan Istana Negara, Lembaga Pengampunan bersidang berkait Najib
Tumpuan Istana Negara, Lembaga Pengampunan bersidang berkait Najib
KUALA LUMPUR: Istana Negara menjadi tumpuan sejak awal pagi semalam apabila Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berlangsung dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Difahamkan, mesyuarat berkenaan mempunyai kaitan dengan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini ditangguhkan pada 11 September.
Najib, 73, menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Pengamal media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul berhampiran pintu utama Istana Negara sejak awal pagi bagi mengikuti perkembangan mesyuarat berkenaan.
Kenderaan membawa Hannah dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 7.45 pagi sebelum kenderaan membawa Mohd Dusuki tiba tujuh minit kemudian pada 7.52 pagi.
Selepas menghadiri mesyuarat itu, Hannah dilihat meninggalkan Istana Negara terlebih dahulu, manakala Mohd Dusuki menyusul pada 9.43 pagi.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai Peguam Negara, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.
Mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, kuasa berkaitan pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut kerangka perlembagaan berkenaan.
Mesyuarat itu sebelum ini menarik perhatian susulan penangguhan pada 11 September serta perkembangan berkaitan permohonan Najib.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Najib Razak, Lembaga Pengampunan, Istana Negara, Hannah Yeoh
