Pistol tiruan bawah kerusi, dadah RM1,022 dirampas
Pistol tiruan bawah kerusi, dadah RM1,022 dirampas
TEMERLOH: Helah seorang penghantar barang menyembunyikan objek menyerupai pistol di bawah kerusi pemandu terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan dadah di Paya Keladan, di sini, malam kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira 8.30 malam pada 12 September lalu, polis turut menemukan cecair dan serbuk kristal disyaki dadah daripada lelaki berusia 29 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh hasil maklumat diterima.
Menurutnya, suspek lelaki Melayu berasal dari Bera yang bekerja sebagai penghantar barang ditahan ketika serbuan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 15 mililiter cecair vape disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis MDMA dan 6.15 gram serbuk kristal disyaki methamphetamine.
“Pemeriksaan lanjut terhadap kereta dinaiki suspek turut menemukan sepucuk senjata api palsu menyerupai pistol berwarna hitam dipercayai miliknya yang disorok di bawah kerusi pemandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Nasyim berkata, ujian saringan air kencing suspek turut didapati positif dadah.
Katanya, semakan rekod mendapati lelaki terbabit mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah, namun tidak mempunyai rekod jenayah.
“Suspek direman selama tiga hari bermula 13 hingga 15 September bagi membantu siasatan, manakala nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM1,022,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 berhubung pemilikan objek menyerupai senjata api.
Mohd Nasyim berkata, polis akan terus mempergiat risikan dan tindakan membanteras kegiatan pengedaran serta penagihan dadah di daerah itu.-SAHIH
#kw dadah, pistol tiruan, Paya Keladan, IPD Temerloh
