293 projek India bernilai RM10.16 bilion diluluskan di Malaysia
293 projek India bernilai RM10.16 bilion diluluskan di Malaysia
NEW DELHI: Hubungan pelaburan Malaysia-India terus menunjukkan perkembangan positif apabila 293 projek pembuatan dengan penyertaan India bernilai AS$2.95 bilion (RM10.16 bilion) diluluskan di Malaysia setakat Jun lalu.
Perkembangan itu bakal diperkukuh menerusi pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan ketua industri terkemuka sempena lawatan kerjanya ke New Delhi bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS ke-18.
Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke India merangkap Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Sharifah Ezneeda Wafa berkata, pertemuan berkenaan dijangka membuka ruang untuk memperkukuh lagi hubungan pelaburan antara kedua-dua negara.
“Selain perdagangan dan pelaburan, kedua-dua negara giat berusaha untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor seperti keselamatan makanan dan pengangkutan,” katanya kepada media Malaysia menjelang ketibaan Perdana Menteri.
Daripada keseluruhan projek yang diluluskan, sebanyak 180 projek bernilai AS$1.48 bilion (RM5.12 bilion) sudah dilaksanakan.
Projek terbabit merangkumi sektor utama termasuk tekstil, farmaseutikal, bahan kimia, petrokimia, produk logam, pengangkutan dan tenaga boleh baharu.
Pada masa sama, syarikat Malaysia turut memperluaskan kehadiran dalam pelbagai sektor di India, sekali gus mencerminkan hubungan perniagaan dan pelaburan yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.
Antaranya, IJM Infrastructure Ltd terbabit dalam pembangunan lebuh raya, rel metro, perbandaran kediaman dan bangunan komersial, manakala Gentari India memberi tumpuan kepada tenaga solar, angin, tenaga boleh baharu teragih, penyimpanan tenaga bateri serta hidrogen.
Ingress Mayur Auto Ventures India Pvt Ltd pula terbabit dalam pembuatan komponen automotif menerusi usaha sama, manakala Eversendai Construction menyediakan perkhidmatan reka bentuk keluli struktur, kejuruteraan, fabrikasi dan pemasangan bagi loji janakuasa serta kemudahan minyak dan gas.
SMH Rail India Pvt Ltd menjalankan kejuruteraan dan pembuatan stok gerabak termasuk penyelesaian bagi Monorel Mumbai, selain menandatangani memorandum persefahaman dengan BEML Ltd pada 2024 berkaitan pembuatan bersama dan pertukaran teknologi.
Hospital Gleneagles pula mengendalikan rangkaian hospital pelbagai kepakaran di Chennai, Bengaluru dan Hyderabad.
Malaysia menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di New Delhi sebagai Negara Rakan Kongsi BRICS.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw Malaysia, India, Anwar Ibrahim, pelaburan, RM10.16 bilion, BRICS, New Delhi, Sharifah Ezneeda Wafa
