Cemas dua wad terbakar, 17 pesakit selamat
Cemas dua wad terbakar, 17 pesakit selamat
MARAN: Seramai 17 pesakit termasuk 11 kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri apabila kebakaran berlaku di ruang siling Wad Kanak-Kanak dan Wad Wanita Hospital Bandar Jengka, malam tadi.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu membabitkan enam kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan dan enam wanita, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, anggota bertugas di Kaunter Khidmat Aduan Balai Polis Jengka menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Maran memaklumkan kejadian kebakaran itu.
Menurutnya, anggota Balai Polis Jengka kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati pasukan bomba sedang menjalankan operasi memadamkan kebakaran.
“Kebakaran berlaku di bahagian dalam ruang siling Wad Kanak-Kanak dan Wad Wanita sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba.
“Kejadian menyebabkan kerosakan pada bahagian siling serta pendawaian yang berada di atas siling kedua-dua wad berkenaan,” katanya.
Wong berkata, berdasarkan maklumat awal pegawai bomba, kira-kira 10 peratus bahagian siling Wad Kanak-Kanak dan Wad Wanita terbakar dalam kejadian itu.
Katanya, semua pesakit yang berada di lokasi berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh anggota bomba dalam tempoh kira-kira 20 minit.
“Punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak bomba, manakala jumlah kerugian juga masih belum dapat dipastikan,” katanya.
Operasi turut membabitkan tiga anggota Balai Polis Jengka dan dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Maran.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Jengka pula membabitkan seorang pegawai serta lima anggota bersama sebuah jentera dan sebuah pacuan empat roda, manakala enam anggota serta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krau turut membantu operasi.-SAHIH
#kw: Hospital Bandar Jengka, kebakaran, Wad Kanak-Kanak, Wad Wanita, Maran, Wong Kim Wai, bomba
