Rakyat Malaysia antara 341 pelancong asing hilang di Nepal
Rakyat Malaysia antara 341 pelancong asing hilang di Nepal
KATHMANDU: Rakyat Malaysia antara 341 pelancong asing yang dilaporkan hilang susulan kejadian aliran lumpur besar di Nepal yang setakat ini meragut sekurang-kurangnya 97 nyawa.
Pihak berkuasa pelancongan Nepal memaklumkan jumlah warga asing yang hilang meningkat daripada 291 kepada 341 orang ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan di kawasan terjejas.
Antara mereka yang hilang ialah 133 pelancong India, manakala 62 lagi adalah warga Nepal. Pelancong dari beberapa negara lain termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, Britain, Korea Selatan dan Afrika Selatan turut dilaporkan belum dapat dikesan.
Bencana itu berlaku di Sungai Bhote Koshi yang menghubungkan Nepal dengan Tibet pada Rabu sebelum arus deras bercampur lumpur dan serpihan melanda beberapa perkampungan serta memusnahkan rumah dan kemudahan lain.
Polis Nepal menerusi Facebook dan platform X turut berkongsi rakaman kejadian yang menunjukkan arus deras menyapu pokok serta bangunan di sepanjang laluannya.
Bencana sama turut memberi kesan kepada kawasan sempadan Gyirong di Tibet, China dengan media negara itu melaporkan kejadian berkenaan menyebabkan korban dan beberapa individu masih hilang.

Menurut Reuters, imej satelit Planet Labs yang dirakam pada 25 Ogos sebelum kejadian dan 26 Ogos selepas bencana menunjukkan kawasan luas ditenggelami air selain berlaku perubahan ketara terhadap bentuk muka bumi.
Operasi mencari mangsa masih diteruskan pihak berkuasa Nepal dengan tumpuan diberikan kepada kawasan perkampungan dan laluan yang terjejas teruk.
Setakat ini, belum dinyatakan jumlah tepat rakyat Malaysia yang termasuk dalam senarai 341 pelancong asing berkenaan.-SAHIH
#kw: Nepal, rakyat Malaysia, pelancong hilang, aliran lumpur, Bhote Koshi, Tibet, bencana, 97 maut, 341 hilang
