Wartawan perlu jadi benteng maklumat palsu
Wartawan perlu jadi benteng maklumat palsu
TASHKENT: Perkembangan pantas dunia digital meletakkan tanggungjawab lebih besar kepada pengamal media untuk memastikan setiap laporan disampaikan secara tepat, beretika dan bertanggungjawab, terutama ketika maklumat palsu semakin mudah tersebar kepada jutaan pengguna.
Ketua Jabatan Komunikasi Pentadbiran Presiden Uzbekistan, Sherzod Asadov berkata, peranan wartawan kini tidak lagi terhad kepada menyampaikan berita, sebaliknya turut membentuk pemahaman serta naratif masyarakat.
Menurutnya, pengaruh besar dimiliki media menuntut wartawan meningkatkan kemahiran dan tahap profesionalisme supaya masyarakat mendapat maklumat dalam persekitaran media yang lebih terbuka serta bertanggungjawab.
“Dengan keupayaan mempengaruhi jutaan orang, wartawan memikul tanggungjawab besar dalam membentuk pemahaman masyarakat dan menggalakkan perbincangan berasaskan maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Forum Media Antarabangsa ‘Islamic Civilisation: A New Perspective – New Discoveries’ di Tashkent.
Asadov yang juga Setiausaha Akhbar kepada Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev berkata, pengamal media perlu terus memperkukuh kemahiran dan tanggungjawab profesional tanpa mengabaikan prinsip kewartawanan serta kebebasan media.
Katanya, wartawan juga tidak seharusnya berdiam diri apabila kebebasan bersuara dan kebebasan media diancam atau dicabuli di mana-mana bahagian dunia.
Forum yang berlangsung di Islamic Civilisation Centre itu menjadi platform global dalam memperkukuh peranan kewartawanan bagi menyebarkan ilmu serta meningkatkan kefahaman masyarakat, khususnya berkaitan tamadun Islam.
Lebih 300 pengamal media dan pakar dari 50 negara menyertai forum berkenaan bagi bertukar pandangan, pengalaman serta pendekatan dalam menangani cabaran industri media.
Pertemuan itu dianggap semakin penting ketika penyebaran maklumat tidak tepat dan berita palsu berlaku hampir setiap hari menerusi pelbagai platform digital.
Forum berkenaan turut diadakan bersempena ulang tahun ke-35 kemerdekaan Uzbekistan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Uzbekistan, Sherzod Asadov, wartawan, kebebasan media, berita palsu, misinformation, Islamic Civilisation Centre, International Media Forum, Tashkent, Shavkat Mirziyoyev
