Jurukimpal hasilkan arca bertemakan kelestarian bumi guna AI
Jurukimpal hasilkan arca bertemakan kelestarian bumi guna AI
JERANTUT: Seorang jurukimpal di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut menghasilkan arca bertemakan kelestarian bumi dengan menggabungkan kemahiran kimpalan, kreativiti dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Muhammad Haikal Hakimi Shahrul Efendi, 26, dari Seri Muda, dekat sini, berkata arca seberat kira-kira 15 kilogram itu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.
Menurutnya, idea serta reka bentuk arca berkenaan dibangunkan dengan bantuan teknologi AI sebelum diterjemahkan kepada hasil kerja menggunakan kemahiran kimpalan.
“Arca ini berukuran kira-kira dua kaki tinggi dan satu kaki lebar, dengan konsep menggambarkan hubungan antara benda hidup dan benda mati serta tanggungjawab manusia dalam memelihara kelestarian bumi.
“Sebagai jurukimpal, saya melihat kerja kimpalan bukan sekadar menghasilkan struktur, malah mempunyai nilai seni dan kreativiti,” katanya.
Beliau berkata, proses menghasilkan arca itu memerlukan penggunaan gas dan peralatan kimpalan yang sesuai, selain pengetahuan serta kemahiran mengendalikan peralatan bagi memastikan keselamatan sepanjang proses kerja.
Katanya, penghasilan karya seumpama itu membuktikan bidang kimpalan boleh dikembangkan bukan sahaja dalam sektor industri, malah sebagai medium menghasilkan karya seni yang membawa mesej kepada masyarakat.
“Penggunaan teknologi seperti AI membantu mendapatkan idea dan menghasilkan reka bentuk, namun kemahiran manusia tetap penting untuk merealisasikan hasil berkenaan,” katanya. -SAHIH.
