Lipis Hill Challenge Fun Run tarik 1,000 peserta
Lipis Hill Challenge Fun Run tarik 1,000 peserta
LIPIS – Lipis Hill Challenge Fun Run (LHCFR) 2026 terus mendapat sambutan apabila kira-kira 1,000 peserta menyertai edisi kesembilan program berkenaan di Dataran Orang Kaya Haji Lipis, di sini, kelmarin.
Ahli Parlimen Lipis merangkap Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah penyertaan itu menunjukkan acara berkenaan semakin mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah peserta dari luar daerah.
Menurut beliau, jumlah tersebut meningkat berbanding kira-kira 600 peserta yang menyertai program sama tahun lalu.
“Ini menunjukkan dari semasa ke semasa penganjuran Lipis Hill Challenge semakin bertambah baik dan mungkin peserta dari luar juga sudah mengetahui program ini diadakan setiap tahun.
“Walaupun tarikhnya tidak ditetapkan pada masa tertentu, ia biasanya diadakan sekitar bulan kemerdekaan dan menjadi antara acara yang memeriahkan sambutan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri LHCFR 2026 di Dataran Orang Kaya Haji Lipis, di sini, hari ini.
Abdul Rahman turut menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai satu usaha positif dalam menggalakkan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan antara masyarakat.
“Saya ucap tahniah kepada pihak penganjur bersama untuk edisi LCHFR 2026 ini iaitu Hospital Kuala Lipis dan TVET Lipis yang merupakan pihak pengurusan kepada Kolej Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Akademi USIM cawangan Kuala Lipis termasuk semua penaja khususnya Perumahan Makmur Tempoyang Jaya yang merupakan penaja platinum untuk edisi ini yang menyumbang RM5000 sebagai sokongan dalam menjayakan program ini.

“Tanpa sokongan orang ramai, tidak mungkin program seperti ini dapat dilaksanakan dan saya percaya sambutannya akan menjadi lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata, penganjuran akan datang boleh ditambah baik dengan memanjangkan jarak larian selain menyediakan lebih banyak aktiviti di sekitar lokasi bagi menarik kehadiran peserta dan pengunjung.
Katanya, pihak penganjur juga boleh mempertimbangkan penganjuran aktiviti atau gerai pada malam sebelum acara bagi membolehkan peserta dari luar datang lebih awal.
“Peserta yang datang bukan sahaja dari Lipis, malah saya dimaklumkan ada dari Kuala Lumpur, Terengganu dan negeri-negeri lain. Ini menunjukkan Lipis Hill Challenge sudah mula dikenali di luar daerah,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya turut melihat potensi untuk menampilkan ikon larian bagi memeriahkan penganjuran pada masa akan datang sekali gus menarik lebih ramai peserta.
Beliau berkata, format program juga boleh dipelbagaikan termasuk meningkatkan jarak larian daripada lima dan 10 kilometer kepada jarak yang lebih jauh mengikut kesesuaian.
Dalam perkembangan berkaitan Hospital Kuala Lipis, Abdul Rahman berkata, kerajaan turut sedang mengusahakan tapak baharu bagi pembinaan blok tambahan hospital berkenaan yang diluluskan sebanyak RM500 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menurut beliau, usaha mendapatkan tapak baharu itu sedang dilakukan bersama Pengarah Hospital Lipis, Dr Idilia Ishahar dan pihak Pejabat Daerah dan Tanah Lipis bagi memastikan pembangunan hospital dapat dilaksanakan secara lebih terancang.
“Kalau tidak dapat tapak baharu, kita terpaksa bina di tempat lama dan bangunan lama perlu dirobohkan. Itu sedikit sebanyak satu kerugian kerana kita sudah ada perancangan untuk membuka Bandar Baharu 3.0.
“Kita bimbang kalau dibina di tapak lama, ia akan menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana Hospital Lipis mempunyai lebih 2,000 kakitangan,” katanya.
Abdul Rahman berkata, blok tambahan itu kelak dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 300,000 penduduk dari Lipis, Jerantut, Raub, Cameron Highlands dan sebahagian Gua Musang.
Tambahnya, kemudahan baharu itu turut dirancang dengan tambahan katil, bilik pembedahan dan mesin pengimejan resonans magnetik (MRI), sekali gus membolehkan pesakit mendapatkan lebih banyak rawatan di Hospital Lipis tanpa perlu ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.-SAHIH
#kw: Lipis Hill Challenge Fun Run 2026, LHCFR 2026, Lipis Hill Challenge, Kuala Lipis, Dataran Orang Kaya Haji Lipis, Abdul Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Lipis, PETRA, Hospital Kuala Lipis, TVET Lipis, UIA, Akademi USIM Kuala Lipis, Perumahan Makmur Tempoyang Jaya, gaya hidup sihat, fun run Pahang, RMK-13, blok tambahan Hospital Kuala Lipis,
-Oleh NORFARHIZA MOHD ATAR
