Alunan patriotik hidupkan semangat Merdeka di ibu kota
Alunan patriotik hidupkan semangat Merdeka di ibu kota
KUALA LUMPUR: Alunan lagu patriotik menggantikan persembahan biasa pemuzik jalanan di pekarangan Kompleks Sogo, di sini, apabila orang ramai bersama-sama menyemarakkan semangat Bulan Kebangsaan menerusi Program Pentarama Merdeka@HoHo.
Pengunjung bukan sahaja mengibarkan Jalur Gemilang, malah turut menyanyikan lagu patriotik bersama-sama sehingga mewujudkan suasana meriah di lokasi berkenaan.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) yang memasuki tahun ketiga itu menjadi antara platform untuk memupuk semangat patriotisme selain meningkatkan penghayatan masyarakat terhadap sambutan Hari Kebangsaan.
Ketua Pengarah Penerangan, Erwin Khairul Ahmad berkata, walaupun program kali ini dilaksanakan dalam skala lebih sederhana, sambutan orang ramai tetap menggalakkan.
“Malam ini sambutan di Sogo sangat meriah walaupun kita tidak menjadualkan atau mempromosikan program ini.
“Apabila kita datang, kita buat kejutan dengan lagu-lagu seperti Aku Berjanji nyanyian Faizal Tahir yang juga lagu tema tahun ini dan kita nampak orang ramai mula datang menghampiri,” katanya.
Menurutnya, rakyat Malaysia sememangnya mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap negara, namun semangat berkenaan perlu diterjemahkan melalui tindakan termasuk menyertai program bercirikan patriotik.
Beliau turut menggesa rakyat yang masih belum mengibarkan Jalur Gemilang supaya berbuat demikian ketika sambutan Bulan Kebangsaan semakin menghampiri kemuncaknya.
Katanya, Pentarama Merdeka@HoHo seterusnya akan diadakan pada 12 September di beberapa lokasi ikonik termasuk Dataran Merdeka dan Plaza Sungei Wang.
Program berkenaan membabitkan tiga hentian utama iaitu Kompleks Sogo, KLCC dan Pavilion bagi mempromosikan Kempen Kibar Jalur Gemilang menerusi inisiatif ‘Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang’.
Erwin Khairul turut mengajak orang ramai memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya selain sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos di Dataran Merdeka.-SAHIH
Sumber: BERNAMA
#kw: Pentarama Merdeka@HoHo, Jabatan Penerangan Malaysia, Erwin Khairul Ahmad, Bulan Kebangsaan, Jalur Gemilang, Sogo, Hari Kebangsaan, patriotik, Satu Rumah Satu Jalur Gemilang
