Felda Jengka 24 sasar kibar lebih 5,000 Jalur Gemilang
Felda Jengka 24 sasar kibar lebih 5,000 Jalur Gemilang
Jerantut: Warga Felda Jengka 24 menyasarkan pemasangan lebih 5,000 Jalur Gemilang di kediaman penduduk serta laluan utama rancangan itu sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menyahut seruan Pejabat Wilayah Jengka yang menggalakkan semua 37 rancangan Felda di wilayah berkenaan mengibarkan Jalur Gemilang secara kreatif dan menyeluruh.
Menurutnya, kempen itu bukan sekadar menceriakan kawasan perumahan dan jalan utama, malah bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme serta kecintaan terhadap negara dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kita menyasarkan lebih 5,000 Jalur Gemilang dipasang di seluruh Felda Jengka 24 termasuk di rumah penduduk, premis, kawasan awam dan jalan-jalan utama.

“Ia sebagai tanda sokongan warga Felda terhadap sambutan Bulan Kebangsaan selain menyahut arahan Pejabat Wilayah Jengka supaya setiap rancangan menampilkan kreativiti masing-masing dalam mengibarkan bendera,” katanya ketika ditemui.
Razak berkata, warga Felda Jengka 24 juga berazam mengulangi kejayaan sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun 2023 dan 2024 apabila jumlah Jalur Gemilang yang dipasang mencecah hampir 10,000 helai.
Katanya, pencapaian itu membuktikan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk masih utuh dan terus menjadi kebanggaan komuniti Felda.
“Saya berharap tahun ini warga Felda Jengka 24 sekali lagi dapat menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai malah melebihi pencapaian sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti turut dirancang sepanjang Bulan Kebangsaan bagi menghidupkan suasana sambutan termasuk pertandingan pemasangan bendera paling kreatif, sukan komuniti dan beberapa program kemasyarakatan lain.
Menurutnya, aktiviti berkenaan bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk, malah menyemai semangat perpaduan serta kecintaan kepada negara.
Katanya, penglibatan aktif semua lapisan masyarakat amat penting bagi memastikan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini berlangsung meriah dan meninggalkan impak positif kepada generasi muda.-SAHIH
#kw
#FeldaJengka24 #RazakDaud #JalurGemilang #BulanKebangsaan #Merdeka2026 #FeldaJengka #Patriotisme #WilayahJengka #Jerantut #MalaysiaMadani
