Pertumbuhan ekonomi perlu dirasai rakyat, bukan sekadar angka – Fahmi
Pertumbuhan ekonomi perlu dirasai rakyat, bukan sekadar angka – Fahmi
Putrajaya: Kerajaan perlu memastikan setiap pencapaian ekonomi negara diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dapat dirasai rakyat terutama dari segi peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan kos sara hidup.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pelaburan yang tinggi dan peningkatan perdagangan tidak membawa makna sekiranya rakyat gagal memahami serta menikmati kesan positif daripada pencapaian tersebut.
Beliau berkata, usaha menjelaskan manfaat pertumbuhan ekonomi kepada rakyat bukan hanya tanggungjawab Kementerian Komunikasi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua kementerian dan agensi kerajaan.
“Bagus angka enam peratus untuk suku kedua, bagus jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah dan jumlah perdagangan yang tinggi, tetapi apa yang rakyat mahu tahu ialah bagaimana angka-angka besar ini dapat dinikmati oleh mereka.
“Justeru, peranan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) amat penting dalam membantu menjelaskan kepada rakyat kesan sebenar pertumbuhan ekonomi yang dicapai negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi sempena Bulan Kebangsaan di sini, Isnin.
Menurut Fahmi, pendekatan komunikasi kerajaan perlu lebih berkesan dan dekat dengan rakyat supaya pencapaian ekonomi dapat diterjemahkan kepada apa yang disebut sebagai “ekonomi poket”.
Katanya, ia merangkumi isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat seperti peluang pekerjaan, keadaan jalan raya, jambatan rosak, sekolah daif dan pelbagai kemudahan asas yang memerlukan perhatian segera kerajaan.
“Perkara ini perlu kita cakna. Kita perlu membantu kementerian lain menjelaskan isu-isu yang mungkin menjadi keutamaan mereka kerana ada kalanya rakyat kurang memahami usaha yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, komunikasi yang jelas dan berkesan dapat meningkatkan kefahaman rakyat terhadap dasar kerajaan selain memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.
Menurutnya, kejayaan ekonomi negara hanya akan dianggap bermakna apabila manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat di semua peringkat.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw
#FahmiFadzil #KementerianKomunikasi #KDNK #EkonomiMalaysia #EkonomiPoket #JAPEN #JKOM #Putrajaya #KerajaanMADANI #KosSaraHidup
