Mayat dalam beg pakaian di Sungai Perak disahkan wanita, dibunuh
Mayat dalam beg pakaian di Sungai Perak disahkan wanita, dibunuh
KUALA KANGSAR: Polis mengesahkan mayat yang ditemui di dalam sebuah beg pakaian di Sungai Perak berhampiran jeti Lembah, di sini, petang semalam adalah seorang wanita yang dipercayai menjadi mangsa pembunuhan.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, mangsa dianggarkan berusia lingkungan 30-an namun identitinya masih belum dapat dikenal pasti setakat ini.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu daripada seorang lelaki kira-kira jam 3.12 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati mayat berkenaan ditemui di dalam sebuah beg pakaian yang berada di Sungai Perak berhampiran jeti Lembah Kuala Kangsar.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum mayat dihantar ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis percaya terdapat unsur jenayah dalam kes berkenaan dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Katanya, siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk usaha mengesan identiti mangsa serta individu yang mungkin terbabit dalam kejadian itu.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi membantu polis menyelesaikan kes ini dengan segera,” katanya.
Heisham berkata, individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar di talian 05-776 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau berkata, sebarang maklumat walaupun kecil boleh membantu pihak polis mengenal pasti mangsa serta mengesan suspek yang terbabit dalam kes berkenaan.
Kes itu kini dalam siasatan dan polis tidak menolak kemungkinan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
