Suami isteri berdepan hukuman mati edar 480 gram MDMA
Suami isteri berdepan hukuman mati edar 480 gram MDMA
IPOH: Sepasang suami isteri berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar kira-kira 480 gram dadah jenis MDMA (methylenedioxymethamphetamine), minggu lalu.
Tertuduh, Teoh Wai Loon dan Lim Suk Pei mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya jenis MDMA dengan anggaran berat 480 gram di Medan Bercham Bistari, kira-kira jam 4 petang, 4 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmir manakala pasangan berkenaan tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.
Sebelum ini, polis mengesahkan tujuh individu termasuk pasangan suami isteri berkenaan ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Ipoh dan Tapah.
Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk kira-kira 2.6 kilogram MDMA di dua rumah di Tapah.
Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM538,451.
Polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM224,000 serta wang tunai RM32,376 dalam operasi berkenaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
