Suri rumah didakwa bunuh bayi 16 bulan
Suri rumah didakwa bunuh bayi 16 bulan
KOTA TINGGI: Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia 16 bulan di Taman Sri Saujana, akhir bulan lalu.
Tertuduh, Nurul Farhana Laili Shah, 39, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hafizah Abdul Rajak.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Nurul Farhana didakwa membunuh Nur Anggun Dahlia Abdullah antara jam 12.30 tengah hari, 30 Julai hingga 9.30 pagi, 31 Julai lalu di sebuah rumah di Jalan SS 6/13, Taman Sri Saujana.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia, bedah siasat dan DNA.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa manakala tertuduh diwakili peguam Lydiana Mansor.
Semalam, Ketua Polis Johor, CP Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, tiga individu termasuk nenek tiri mangsa ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, nenek tiri mangsa membuat laporan polis pada 31 Julai lalu mendakwa cucunya meninggal dunia ketika tidur di rumah berkenaan.
Bagaimanapun, hasil bedah siasat di Hospital Pasir Gudang mendapati kematian mangsa disebabkan trauma pada bahagian perut dan dada akibat daya objek tumpul.
Pemeriksaan turut menemui beberapa kesan luka serta lebam pada badan mangsa. – SAHIH
Sumber : BERNAMA
