Malaysia raih dua emas World Robot Challenge di Beijing
Malaysia raih dua emas World Robot Challenge di Beijing
PUTRAJAYA : Pasukan Malaysia mencipta pencapaian membanggakan apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada World Robot Challenge ke-23 yang berlangsung di Beijing, China, Sabtu dan Ahad lalu.
Kejayaan itu menunjukkan peningkatan berbanding penyertaan tahun lalu apabila kontinjen negara sekadar membawa pulang dua pingat daripada kejohanan berkenaan.
Pengarah Projek World of Robotics Sdn Bhd, Michelle Choo berkata, Malaysia diwakili 92 peserta berusia antara sembilan hingga 18 tahun dalam kejohanan antarabangsa yang menghimpunkan lebih 5,000 peserta dan peminat robotik dari lebih 40 negara.
Menurutnya, persediaan rapi dilakukan selepas penyertaan pada kejohanan sama tahun lalu bagi memastikan peserta negara lebih bersedia menghadapi cabaran.
“Selepas pertandingan tahun lalu, kami mengadakan latihan sebagai persediaan dan saya rasa pelajar memang sudah bersedia untuk menghadapi cabaran di sana,” katanya ketika ditemui sejurus tiba dari Beijing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Isnin.
Sementara itu, Pengerusi World of Robotics, Zainuren Mohd Nor berkata, penyertaan pelajar berbilang kaum di bawah ‘payung Malaysia’ turut menyerlahkan semangat kenegaraan di pentas antarabangsa.
Katanya, penglibatan dalam bidang robotik juga mampu meningkatkan minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Saya percaya penglibatan pelajar dalam robotik akan membolehkan mereka berminat mengikuti STEM pada masa akan datang. Apabila ke China, mereka juga dapat melihat bagaimana STEM diaplikasikan dalam kehidupan harian,” katanya.
Pingat emas kategori Puck Collector Junior dimenangi Che Raeesa Che Rostami, Anaqi Azizi Asnur dan Wan Umar Wan Azlan, manakala Cheong Zhen Hao, Lee Jian Kai dan Yap Yu Min mengungguli kategori Robobowling Senior.
Elijah Shreyash Nair dan Muhammad Irfan Rizqi Roseaidy meraih perak Puck Collector Senior, manakala Cheah Cheng You, Keith Chan dan S. Avighna Sivam memenangi gangsa Puck Collector Junior.
Satu lagi gangsa negara diraih M. Nethish Sharmaa dan Muhammad Raffan Aqhyaar Mohd Nafis menerusi kategori Freestyle Junior.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
