14 lelaki nafi tuduhan berlagak seperti perempuan
lelaki nafi tuduhan berlagak seperti perempuan
TEMERLOH: Seramai 14 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Temerloh, hari ini, atas pertuduhan berlagak seperti perempuan, manakala tiga daripada mereka turut didakwa atas kesalahan berpakaian tidak sopan di tempat awam.
Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Bicara, Norhisham Ahmad, mengikut Seksyen 33 dan Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pahang 2013.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara jam 11 malam hingga 11.30 malam pada 12 Januari 2025 di Garden Dream Hall, Mentakab.
Peguam syarie yang mewakili kesemua tertuduh, Muhammad Syarafi Mohd Salleh, berkata semua anak guamnya memilih untuk dibicarakan selepas menafikan pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka.
Katanya, pihak pembelaan akan mengemukakan permohonan mendapatkan dokumen berkaitan kes termasuk kertas pertuduhan serta dokumen lain yang diperlukan bagi membolehkan pihaknya menyediakan pembelaan sebelum prosiding seterusnya.
“Semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan. Kami juga akan memohon dokumen berkaitan bagi membolehkan penelitian dibuat terhadap keseluruhan kes sebelum perbicaraan dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.
Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM500 hingga RM800 setiap seorang dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 22 September 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Muhammad Syarafi berkata, tiada syarat pemantauan khas dikenakan terhadap semua tertuduh selepas dibebaskan dengan jaminan kerana urusan penguatkuasaan telah selesai dan kini kes itu berada di bawah kendalian pihak pendakwaan.
Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 33, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.
Katanya, tiga tertuduh yang turut didakwa mengikut Seksyen 53 pula berdepan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Busu Firdaus Abu Bakar, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam syarie Muhammad Syarafi Mohd Salleh dan Mohamed Noor Helmi Abdul Hamid.-SAHIH
