Koperasi Malaysia jadi rujukan Thailand perkukuh tadbir urus, kerjasama pelancongan
Koperasi Malaysia jadi rujukan Thailand perkukuh tadbir urus, kerjasama pelancongan
SELANGOR : Kejayaan gerakan koperasi Malaysia terus mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila seramai 26 delegasi daripada The Cooperative League of Thailand (CLT) mengadakan lawatan rasmi ke Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, pada Ahad.
Kunjungan itu bertujuan mendalami peranan ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara selain mempelajari amalan tadbir urus terbaik yang dilaksanakan dalam memperkukuh pembangunan koperasi di Malaysia.
Ketua delegasi CLT, Mr. Poramate Intarachumnum berkata, pihaknya turut meneliti peluang kerjasama strategik yang boleh diteroka antara koperasi Malaysia dan Thailand, khususnya dalam sektor pelancongan yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, lawatan berkenaan menjadi platform penting bagi mengukuhkan hubungan serta semangat solidariti antara gerakan koperasi kedua-dua negara.
Menurutnya, ekosistem koperasi Malaysia disokong oleh tiga institusi utama di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai badan kawal selia dan pendaftar koperasi, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang menerajui latihan serta pendidikan koperasi, manakala ANGKASA bertindak sebagai badan induk yang mewakili suara seluruh gerakan koperasi negara.

“ANGKASA yang ditubuhkan pada 12 Mei 1971 kini menyambut ulang tahun ke-55 dan terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan gerakan koperasi melalui pelbagai perkhidmatan termasuk sistem potongan gaji, pengurusan Syariah dan zakat koperasi, pendidikan perniagaan serta pembangunan anak syarikat bagi menjana aktiviti ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama rentas sempadan amat penting dalam memastikan kelestarian sosioekonomi koperasi melalui perkongsian pengetahuan, teknologi dan akses pasaran yang lebih luas.
Katanya, ANGKASA sentiasa mengalu-alukan kerjasama antarabangsa bagi memperkukuh jaringan perniagaan koperasi demi manfaat bersama.

Turut hadir Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Datuk ‘ Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik; Naib Presiden ANGKASA, Datuk ‘ Haji Kamarudin Ismail dan Datuk Haji Ibrahim Haji Abdullah. – SAHIH
