Perwakilan tertua KopKGMMB kekal setia hampir enam dekad
Perwakilan tertua KopKGMMB kekal setia hampir enam dekad
JERANTUT: Walaupun sudah bersara hampir 30 tahun, semangat seorang bekas guru untuk terus menyokong koperasi dan kesatuan tidak pernah luntur apabila beliau masih aktif menghadiri Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Berhad (KGMMB).
Zakaria Hussain, bekas guru berusia 89 tahun itu merupakan antara perwakilan tertua dengan nombor keanggotaannya, 04627 pada mesyuarat berkenaan yang diadakan beru-baru ini.
Beliau menyertai KGMMB ketika berusia 25 tahun dan kekal menjadi ahli selama lebih enam dekad, seterusnya menganggotai Koperasi kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KopKGMMB).
Sepanjang kerjayanya sebagai pendidik, beliau pernah berkhidmat di beberapa sekolah di Kedah termasuk di Langkawi, Yan, Bukit Besar, Kuala Kemasan dan Kampung Jawa sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1996.
“Penglibatan dalam koperasi bukan sekadar untuk mendapatkan kemudahan pinjaman, malah menjadi platform mengeratkan hubungan sesama guru dan saling membantu ketika diperlukan.
“Saya memang minat dengan koperasi sejak muda. Banyak faedah yang diperoleh. Saya pernah membuat pinjaman koperasi untuk membeli tanah ketika harganya masih murah,” katanya.
Beliau berkata, selain membantu dari segi kewangan, koperasi dan kesatuan turut memainkan peranan penting menjaga kebajikan serta membela hak guru sekiranya timbul sebarang masalah berkaitan perkhidmatan.
Bapa kepada lima cahaya mata dan datuk kepada lima cucu itu turut menitipkan pesanan kepada guru-guru muda supaya tidak memandang ringan kepentingan menyertai koperasi dan kesatuan.
“Guru muda perlu mencintai koperasi dan kesatuan. Banyak manfaat yang boleh diperoleh, sama ada dari segi kebajikan, bantuan kewangan mahupun perlindungan terhadap hak sebagai warga pendidik,” katanya.
Beliau yang masih mampu memandu walaupun pada usia lanjut berkata, selagi diberi kesihatan yang baik, beliau akan terus memberikan sokongan kepada KGMMB sebagai tanda penghargaan terhadap jasa koperasi yang banyak membantunya sepanjang bergelar pendidik.-SAHIH.
