Konsep ‘Petik, Timbang, Bayar’ tarik sambutan komuniti di Hulu Selangor
Foto: Mahmod (kanan) dan Laynil Hakih menyantuni peserta projek yang menjual melosel.
Konsep ‘Petik, Timbang, Bayar’ tarik sambutan komuniti di Hulu Selangor
HULU SELANGOR – Konsep ‘Petik, Timbang, Bayar’ mencuri perhatian penduduk apabila lebih 60 biji melon Selangor (Melosel) habis dijual dalam tempoh hanya dua jam pada Program Petik Buah Melosel Segar di Kebun Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari, Presint 14, Bandar Sungai Buaya (BSB), baru-baru ini.
Program bermula jam 9 pagi itu memberi peluang kepada pengunjung memilih sendiri buah yang masak di pokok sebelum ditimbang dan dibayar pada harga RM10 sekilogram.

Melosel masak ranum dan besar menarik perhatian penduduk di sekitar BSB.
Majlis disempurnakan oleh Pegawai Pertanian Daerah Hulu Selangor, Laynil Hakih Sulhan yang memuji usaha KRT Kasturisari menghasilkan Melosel berkualiti tinggi sehingga berjaya dipasarkan kepada komuniti setempat.
Menurut beliau, penghasilan Melosel bermutu memerlukan komitmen, disiplin dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang tempoh penanaman.
“Projek ini membuktikan usaha yang bersungguh-sungguh mampu menghasilkan buah berkualiti sekali gus membuka peluang menjana pendapatan sampingan kepada komuniti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KRT Kasturisari, Mahmod Mat Ali berkata projek Green House Tanaman Melosel itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Selangor, Pejabat Pertanian Daerah Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Beliau berkata, tanaman mengambil masa kira-kira 65 hari bermula daripada peringkat penanaman sehingga penuaian, walaupun peserta memulakan projek tanpa pengalaman.
“Alhamdulillah, kami berjaya menjual lebih 60 biji Melosel dengan anggaran berat keseluruhan 110 kilogram. Sambutan komuniti amat menggalakkan apabila semua buah habis dijual dalam masa dua jam.
“Kejayaan ini membuktikan pertanian komuniti bukan sahaja mampu menjana pendapatan, malah mengeratkan hubungan penduduk melalui aktiviti yang sihat dan bermanfaat,” katanya.-SAHIH.
