Jerantut berpotensi anjur Festival Durian Tahunan angkat nama Jerantut
Jerantut berpotensi anjur Festival Durian Tahunan angkat nama Jerantut
JERANTUT – Jerantut yang terkenal sebagai pengeluar durian kampung premium mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai destinasi agro pelancongan utama menerusi penganjuran Festival Durian Jerantut atau Festival Durian Damak secara tahunan.
Ahli Dewan Undangan Lantikan, Haris Salleh Hamzah berkata, keunikan durian kampung di daerah ini yang mempunyai pelbagai nama tempatan serta cita rasa tersendiri menjadi tarikan kepada penggemar durian dari dalam dan luar negara.
“Selain buah segar, Jerantut juga terkenal dengan pelbagai produk hiliran berasaskan buah-buahan tempatan, sekali gus mampu memberi nilai tambah kepada industri pertanian dan pelancongan.
“Penganjuran sambutan seperti Hari Durian atau Festival Durian bukan sahaja dapat mempromosikan durian kampung premium, malah menjadi platform memperkenalkan produk tempatan, kebudayaan dan inap desa kepada pengunjung,” katanya di Program Hari Durian Daerah Jerantut 2026 anjuran Pejabat Pertanian Daerah Jerantut, di sini, hari ini.

Pemilik durian Bukit Batu, Husain A. Razak (tengah) dipilih sebagai durian terbaik 2026.
Katanya, sokongan daripada agensi kerajaan amat diperlukan bagi memperkukuh promosi serta membawa nama Jerantut sebagai antara destinasi durian terbaik di negara ini.
“Penyertaan pekebun dalam pertandingan durian juga wajar digalakkan kerana pengiktirafan yang diperoleh mampu meningkatkan reputasi dan nilai komersial durian tempatan, bukan sekadar mengejar hadiah kemenangan.
“Musim durian setiap tahun turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat apabila ramai pengunjung memilih untuk menginap di kebun durian atau inap desa bagi menikmati pengalaman menikmati durian segar dalam suasana kampung yang unik,” katanya. -SAHIH.
