Zahid: Penstrukturan FELDA percepat pulih kedudukan kewangan peneroka
Zahid: Penstrukturan FELDA percepat pulih kedudukan kewangan peneroka
MARAN: Penstrukturan semula pengurusan ladang FELDA yang dikendalikan sendiri oleh agensi itu diyakini mampu mempercepatkan pemulihan kedudukan kewangan, sekali gus memberi pulangan lebih baik kepada peneroka.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu adalah antara usaha berterusan kerajaan untuk memulihkan pengurusan FELDA selepas berdepan pelbagai cabaran sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, pengurusan ladang yang lebih tersusun dijangka membantu mempercepatkan penyelesaian hutang serta meningkatkan pendapatan peneroka.
“Kita berharap langkah ini akan memberi pulangan yang lebih baik kepada peneroka FELDA dan memperkukuhkan kedudukan kewangan agensi itu,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut memberi keutamaan kepada kebajikan peneroka, generasi kedua dan generasi ketiga FELDA, termasuk menyelesaikan pelbagai isu tertunggak yang membelenggu mereka sejak sekian lama.
Menurutnya, antara perkara yang sedang diberi perhatian ialah penyelesaian isu tanah, pemberian hak milik kepada lot generasi baharu serta pindaan undang-undang berkaitan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) bagi memudahkan pembinaan rumah untuk generasi kedua peneroka.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang menjadi antara negeri terawal yang mengambil langkah proaktif menyelesaikan isu penyambungan bekalan air kepada rumah generasi baharu FELDA, sebelum diikuti Johor.
Katanya, penyambungan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sedang dilaksanakan bagi memastikan kebajikan penduduk terus terpelihara.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut membantu Koperasi Permodalan FELDA (KPF) menyusun semula beberapa aset bagi membolehkan pembayaran semula saham yang ditebus oleh ahlinya.
Menurutnya, usaha penstrukturan itu penting bagi memastikan kedudukan kewangan koperasi kembali stabil, sekali gus mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada seluruh warga peneroka FELDA.-SAHIH
