PPK Temerloh perkenal baja Sawit Koi, sasar perkukuh pasaran input pertanian Pahang
PPK Temerloh perkenal baja Sawit Koi, sasar perkukuh pasaran input pertanian Pahang
TEMERLOH – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh memperkenalkan baja sawit jenama Sawit Koi yang dibangunkan menggunakan formulasi khas bagi membantu meningkatkan produktiviti tanaman sawit, selain menawarkan harga lebih rendah berbanding pasaran.
Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Pahang, Muhammad Azzrinie Shafie berkata, pelancaran produk itu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan PPK Temerloh yang kini mencatat jualan input pertanian tertinggi dalam kalangan Pertubuhan Peladang Kawasan di seluruh negara.
Katanya, PPK Temerloh merekodkan jualan input pertanian kira-kira RM23 juta setahun dan pengenalan baja premium itu diyakini mampu meningkatkan lagi prestasi perniagaan, khususnya bagi memenuhi keperluan pekebun sawit di Pahang.
“Baja Sawit Koi menawarkan kualiti premium dengan harga permulaan RM110 bagi setiap beg, namun kita berusaha mengurangkan lagi harga sekiranya kos pembungkusan dapat dikurangkan melalui bantuan geran atau insentif berkaitan.
“Kita mahu manfaat penjimatan itu dinikmati terus oleh pembeli, khususnya ahli peladang,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran produk berkenaan di PPK Temerloh.
Menurutnya, pada peringkat awal pengedaran akan memberi tumpuan kepada seluruh Pahang memandangkan negeri itu mempunyai pasaran input pertanian terbesar dalam rangkaian Pertubuhan Peladang di Malaysia.
Beliau berkata, selepas pasaran tempatan diperkukuhkan, pihaknya merancang memperluaskan pemasaran ke negeri berhampiran seperti Negeri Sembilan dan Selangor yang turut mempunyai kawasan tanaman sawit.
Katanya, formulasi baja itu dibangunkan mengikut kesesuaian tanah dan tanaman sawit di Pahang, namun penambahbaikan akan dilakukan berdasarkan maklum balas pengguna dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Temerloh, Datuk Abu Hanipah Majid berkata, penghasilan Sawit Koi adalah hasil kerjasama PPK Temerloh dengan pengeluar baja bagi membangunkan formulasi tersendiri yang mengandungi nutrien berkualiti tinggi.
Beliau berkata, kandungan nutrien seperti asid humik dan boron yang lebih tinggi diharap dapat membantu pertumbuhan pokok serta meningkatkan hasil pengeluaran sawit.
“PPK Temerloh dipercayai menjadi PPK pertama di negara ini yang mempunyai formulasi baja sawit sendiri.
Setakat ini hampir 100 tan baja telah dipasarkan sejak dua bulan lalu dan sambutan diterima amat menggalakkan.
“Permintaan bukan sahaja datang dari Temerloh, malah turut melibatkan PPK di Maran, Bera, Jerantut dan Lipis. Jika permintaan terus meningkat, kami bersedia memperluaskan pasaran ke seluruh negara mengikut keperluan,” katanya.-SAHIH
