Dua beradik bangkit selepas hilang kaki dalam nahas
Dua beradik bangkit selepas hilang kaki dalam nahas
TEMERLOH: Kesempitan hidup yang memaksa bapa mereka menangkap dan menjual udang sungai bagi menyara keluarga menjadi titik tolak kepada dua beradik yang kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan jalan raya untuk bangkit mengubah nasib dengan berniaga.
Nik Haznita Safiya Nur Ismadi, 21, dan adiknya, Nik Haziera Safiya Nur Ismadi, 19, berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat pengorbanan bapa yang bertungkus-lumus mencari rezeki demi memastikan keluarga dapat meneruskan kehidupan.
Nik Haziera berkata, sebelum memulakan perniagaan, mereka hanya berada di rumah selepas menjalani proses pemulihan akibat kemalangan yang mengubah kehidupan mereka.
“Kami kasihan tengok abah. Masa itu keadaan ekonomi keluarga susah sehingga abah terpaksa menangkap dan menjual udang sungai untuk menyara kami sekeluarga.
“Bila keadaan kami semakin pulih, kami berbincang untuk berniaga semula kerana tidak mahu terus bergantung kepada keluarga,” katanya.
Beliau berkata, nahas itu berlaku apabila motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta sebelum tercampak ke laluan bertentangan.
“Ketika itu kami hendak memotong sebuah kenderaan. Bagaimanapun, kereta dari belakang turut memotong lalu melanggar motosikal kami. Kami terjatuh dan pada masa sama sebuah lori datang dari arah bertentangan sebelum gagal mengelak,” katanya.
Menurutnya, kakaknya kehilangan kaki sejurus selepas kemalangan itu, manakala kaki kanannya pula terpaksa dipotong setahun kemudian akibat kerosakan saraf yang semakin serius selepas besi rawatan dikeluarkan.
Nik Haziera yang juga atlet pelapis lawan pedang kerusi roda negara berkata, kehilangan anggota badan tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan.

“Kami tak pernah rasa hidup sudah berakhir. Walaupun kaki dah tak ada, kami tetap rasa seperti diri kami yang dahulu. Bezanya sekarang kami berjalan menggunakan tongkat,” katanya.
Beliau berkata, mereka turut bersyukur menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Petronas serta Kerajaan Negeri Pahang yang banyak membantu proses pemulihan mereka selepas kemalangan.
Katanya, pengalaman pahit itu menjadi pembakar semangat untuk berdikari dan membantu meringankan beban keluarga.-SAHIH
