Tiga Rekod Dunia, Hadiah Paling Bermakna Buat mendiang Ayah
Tiga Rekod Dunia, Hadiah Paling Bermakna Buat mendiang Ayah
KUALA LIPIS: Kehilangan bapa sejak kecil menjadi pembakar semangat kepada atlet kecergasan, Jey Prabakaran Thevar, untuk terus mencipta kejayaan sehingga berjaya memecahkan rekod dunia ketiganya menerusi cabaran kardio dan angkat berat tanpa henti selama 18 jam.
Anak jati Kuala Lipis berusia 29 tahun itu berkata, kejayaan berkenaan didedikasikan khas buat mendiang bapanya yang meninggal dunia ketika beliau baru berusia tiga tahun.
Menurutnya, beliau sebelum ini berjaya mencatat rekod dunia pertama selama 12 jam dan rekod dunia kedua selama 15 jam sebelum memperbaharui rekod sendiri kepada 18 jam menerusi percubaan terbaharu itu.
“Saya sengaja memilih rekod dunia ketiga kerana angka tiga mengingatkan saya kepada usia ketika kehilangan ayah. Rekod ini adalah hadiah paling bermakna buat mendiang ayah,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan cabaran di Kuala Lipis.

Beliau berkata, persiapan bagi menghadapi cabaran itu bermula sejurus selepas berjaya mencipta rekod kebangsaan sempena Hari Sukan Negara pada Oktober tahun lalu.
Katanya, sepanjang tempoh latihan, beliau mengubah sepenuhnya corak pemakanan dengan mengamalkan diet vegetarian selain menjalani latihan intensif sehingga berjaya menurunkan berat badan sebanyak 32 kilogram bagi memastikan berada pada tahap terbaik.
“Cabaran paling sukar ialah ketika cuaca panas pada waktu petang. Ketika itu saya hampir berputus asa kerana terlalu letih, namun saya menguatkan semangat untuk meneruskan cabaran sehingga berjaya memecahkan rekod sendiri,” katanya.
Jey berkata, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, dan Badan Bukan Kerajaan Pahang,atas sokongan, bantuan dana dan kepercayaan yang diberikan sepanjang usahanya mencipta rekod dunia.

Beliau berkata, pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang turut memberi peluang kepadanya menubuhkan Kelab Bina Badan KJEY bagi memperkasa program kecergasan serta melahirkan lebih ramai belia aktif dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, beliau kini merancang mencipta dua lagi rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sempena Hari Sukan Negara di Kuantan menerusi cabaran melakukan 5,000 jumping jacks dalam tempoh lima jam.
“Sebagai Presiden Pertubuhan Kecergasan Malaysia India, saya berharap lebih ramai belia menjadikan kecergasan sebagai gaya hidup sihat.
Saya mahu kejayaan ini menjadi inspirasi kepada mereka bahawa tiada yang mustahil jika disertai disiplin, latihan berterusan dan semangat yang tinggi,” katanya.-SAHIH
