Pemandu AADK maut, pemandu Alphard ditahan selepas ujian dadah positif
Pemandu AADK maut, pemandu Alphard ditahan selepas ujian dadah positif
Bera: Seorang pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah Toyota Alphard yang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan di Kilometer 18, Jalan Temerloh-Bahau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Mohamed Sharif Mohamed Ali, 37, yang memandu Perodua Alza meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, siasatan awal mendapati Perodua Alza dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Triang menghala ke Temerloh.
Menurutnya, pada masa sama Toyota Alphard yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Kuala Lumpur menuju ke Triang dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Akibatnya, Toyota Alphard itu merempuh Perodua Alza yang sedang bergerak lurus di laluan asal sehingga menyebabkan kenderaan mangsa terbabas ke bahu jalan.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu Toyota Alphard yang gagal mengawal kenderaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Toyota Alphard mengalami kecederaan pada bahagian kaki manakala penumpang belakang kenderaan itu, seorang lelaki berusia 25 tahun, turut cedera pada bahagian kaki.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk bedah siasat yang dijadualkan petang ini.
Menurutnya, saringan awal air kencing terhadap pemandu Toyota Alphard mendapati lelaki itu positif dadah jenis benzodiazepine (Benzo/Eremin 5).
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan, manakala sampel darah dan air kencing turut diambil untuk analisis toksikologi.
“Kedua-dua kenderaan juga akan menjalani pemeriksaan di Puspakom selain rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sudah dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH
