Sembilan ahli Geng Yunaa didakwa, dikaitkan 17 kes eksploitasi seks
Sembilan ahli Geng Yunaa didakwa, dikaitkan 17 kes eksploitasi seks
PETALING JAYA: Sembilan individu termasuk tiga wanita yang disyaki terbabit dengan kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Yunaa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Kesemua tertuduh berusia antara 18 hingga 43 tahun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Enam tertuduh lelaki ialah Mohamed Amirul Mohamed Razali, Mohd Amirul Naim Mohd Asbie Syaifullah Abdullah, Mohammad Joshua Salman, Lai Kok Hoe, Tham Yong Zhi dan Seah Joon Keat.
Tiga wanita pula ialah Nuraslinda Natasha Hanafi, Nur Suhada Benjamin Abdullah dan Aiman Muna Mohamed Razali.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes terbabit melibatkan jenayah terancang yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Yunaa di Centrestage, Petaling Jaya antara Januari 2025 hingga 25 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan berkenaan membabitkan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, polis berjaya menumpaskan Geng Yunaa yang disyaki terbabit dalam 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seks.
Katanya, kumpulan itu ditumpaskan menerusi Ops Angel yang dijalankan di sekitar Lembah Klang pada 24 hingga 26 September lalu.
Operasi berkenaan membawa kepada penahanan ahli kumpulan yang disyaki menjalankan kegiatan eksploitasi seksual membabitkan remaja tempatan, warga asing dan kanak-kanak bawah umur.-SAHIH
#GengYunaa #JenayahTerancang #OpsAngel #Mahkamah
